MIDF Research kekal unjuran eksport, import susut kepada 6.4% dan 6.9% bagi tahun penuh 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran eksport, import susut kepada 6.4% dan 6.9% bagi tahun penuh 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - MIDF Research mengekalkan unjuran bahawa eksport dan import Malaysia menyusut kepada 6.4% dan 6.9% bagi tahun penuh 2023.

 

Katanya, purata pertumbuhan bagi eksport dan import bagi 10 bulan tahun ini masing-masing berada paras 7.2% dan 7%.

 

Dengan jangkaan peningkatan pada suku akhir 2023, terdapat petanda positif seperti pemulihan yang lebih kukuh di China dan pemulihan yang lebih baik dalam perdagangan elektrik danelektronik (E&E) menjadikan penguncupan tahun penuh tidak seteruk seperti dijangka.

 

"Memandangkan kemerosotan dan prestasi lemah tahun ini, kami menjangkakan perdagangan luar hanya akan mencatatkan peningkatan semula pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Jumlah perdagangan Malaysia terus susut bagi bulan kelapan berturut-turut kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023 – DOSM

 

Terdahulu, perdagangan pada Oktober 2023 meneruskan aliran menurun untuk bulan kelapan berturut-turut sejak Mac 2023 di sebalik permintaan global yang perlahan dan harga komoditi lebih rendah, mencerminkan cabaran berterusan dihadapi oleh sektor luaran Malaysia didorong faktor ekonomi global.

 

Sementara itu, imbangan perdagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM12.9 bilion, menyusut 30.3% pada Oktober 2023.

 

Prestasi eksport Malaysia mencatatkan penurunan pada Oktober 2023 sejajar dengan penurunan eksport semula dan eksport domestik.

 

Eksport semula berjumlah RM29.8 bilion, menyusut 2.2% berbanding Oktober 2022, sementara eksport domestik bernilai RM96.4 bilion, yang menyumbang 76.4% kepada jumlah eksport, turun 5%.

 

Sementara itu, firma penyelidkan itu berkata, faktor yang boleh menjejaskan prospek perdagangan antara lain ialah kelembapan ketara dalam ekonomi maju dan peningkatan ketegangan geopolitik dan perdagangan, yang boleh menjejaskan kestabilan aliran perdagangan global dan pergerakan harga komoditi global. - DagangNews.com