MIDF Research kekal unjuran KDNK negara sebanyak 4.2% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran KDNK negara sebanyak 4.2% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - MIDF Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2% bagi 2023.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah selepas mengambil kira halangan luar selain dasar monetari yang semakin ketat dalam kebanyakan ekonomi dan mereka mengunjurkan KDNK negara akan menjadi sederhana kepada 4.2% pada tahun ini.

 

Katanya, pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh penurunan prestasi perdagangan luar, dengan mengambil kira jangkaan kelembapan dalam permintaan global.

 

Firma itu berkata, ia juga adalah disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi, sentimen perniagaan yang pesimis seperti yang dicerminkan dalam tinjauan PMI Global S&P dan tekanan inflasi yang tinggi, permintaan domestik di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) akan perlahan tahun ini.

 

"Pertumbuhan eksport sebenar Malaysia diunjurkan sebanyak 3% dengan sebahagiannya disokong oleh peningkatan eksport perkhidmatan melalui aktiviti pelancongan. 

 

"Memandangkan China dibuka semula lebih awal daripada yang diramalkan, kami yakin ini akan memberikan rangsangan tambahan kepada eksport perkhidmatan Malaysia serta aktiviti pelancongan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Ekonomi Malaysia berkembang 5.6% pada suku pertama 2023 didorong permintaan domestik yang positif - BNM

 

Bagaimanapun, firma itu percaya bahawa dagangan  luar Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada eksport komoditi terutamanya minyak sawit, petroleum mentah dan Gas Asli Cecair (LNG) kerana harga minyak mentah Brent serta minyak sawit mentah (MSM)  kekal tinggi pada AS$86 setong dan RM3,500 setiap tan untuk 2023.

 

Katanya, sektor pertanian dan perlombongan diunjurkan berkembang pada paras 1% setiap satu manakala pengeluaran pembuatan berkembang sederhana sebanyak 2.7% untuk 2023.

 

"Bagi sektor domestik, sektor pembinaan akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh berikutan paras perbelanjaan pembangunan yang tinggi yang ditetapkan oleh kerajaan manakala sektor perkhidmatan mendapat keuntungan daripada tekanan inflasi yang lemah dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik," katanya. - DagangNews.com