Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov - MIDF Research kekal optimis terhadap prospek TSH Resources Bhd. berikutan paras harga minyak sawit mentah semasa yang tinggi.
Bagaimanapun, penganalisisnya, Shahiran Rahim berkata, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) disemak turun kepada RM107 juta setelah mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan dalam Bajet 2022.
"Namun, unjuran pendapatan bagi FY21 dan FY23 kekal tidak berubah memandangkan prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh kumulatif 9 bulan memenuhi jangkaan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, TSH Resources merekodkan keuntungan dinormalisasikan sebanyak RM127.5 juta didorong terutamanya menerusi harga minyak sawit mentah yang tinggi pada RM3,586 satu tan metrik.
Untung bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 pula meningkat 87.3% kepada RM45.08 juta daripada RM24.07 juta bagi tempoh sahama tahun lalu manakala pendapatan meningkat 42.46% kepada RM309.07 juta daripada RM216.96 juta.
Shahira berkata, pengeluaran tandan buah segar juga dijangka menggalakkan memandangkan kumpulan mengekalkan pembajaan dengan teliti dan profil pokok muda bagi ladang sawit di Indonesia, yang secara tidak langsung membawa hasil yang lebih baik.
"Ini akan memberi perkembangan positif kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan pada suku akan datang," jelasnya.
Dengan mengambil kira semua faktor tersebut, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap TSH Resourses, sebaliknya menyemak turun harga sasaran kepada RM1.53 daripada RM1.62 dengan menjangkakan jumlah pulangan sebanyak 32.16%.
Setakat 10.37 pagi ini, harga saham TSH Resources susut 3 sen atau 2.56% kepada RM1.14 dengan 1.55 juta saham diniagakan. - DagangNews.com