MIDF Research ‘neutral’ terhadap cadangan Al-Aqar Healthcare REIT melupus Jeta Gardens Aged Care di Australia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research ‘neutral’ terhadap cadangan Al-Aqar Healthcare REIT melupus Jeta Gardens Aged Care di Australia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - MIDF Research ‘neutral’ terhadap cadangan Al-Aqar Healthcare REIT untuk melupuskan Jeta Gardens Aged Care di Australia berharga RM74.9 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata Al-Aqar telah berusaha untuk melepaskan aset di Australia untuk menghapuskan pendedahan risikonya kepada perubahan dalam industri penjagaan warga emas di Australia.

 

Menurut firma tersebut, pertimbangan pelupusan itu melebihi nilai buku bersih terkini sebanyak A$23.44 juta (RM73 juta), namun pertimbangan pelupusan bersih dijangka pada A$20.5 juta (RM63.9 juta).

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Al-Aqar Healthcare REIT cadang lupus Jeta Gardens Aged Care di Australia berharga RM74.9 juta

 

 

“Setelah selesai pelupusan, Al-Aqar menganggarkan untuk mengiktiraf kerugian pelupusan sebanyak RM3.4 juta.

 

“Bagaimanapun, Al-Aqar berhasrat menggunakan hasil daripada pelupusan untuk mengambil alih aset penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research berkata apabila pelupusan tersebut selesai, kerugian pendapatan sewa tahunan dijangka berjumlah RM4.7 juta iaitu pada 4% daripada anggaran sewa FY24, yang firma itu lihat sebagai minimum.

 

Namun begitu, kehilangan pendapatan berpotensi dapat diatasi dengan pengambilalihan aset.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan sementara menunggu pelupusan aset selesai.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap Al-Aqar memandangkan ia terus melihat prospek pendapatan yang menggalakkan untuk REIT itu dan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.25 seunit. Sementara itu, hasil pengagihan bersih dianggarkan pada 5.7%.

 

Pada pukul 9:34 pagi ini, saham Al-Aqar REIT menyusut 1 sen atau 0.8% kepada RM1.23 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.03 bilion.  - DagangNews.com