MIDF Research positif terhadap langkah Samaiden teroka pasaran RE Indonesia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap langkah Samaiden teroka pasaran RE Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - MIDF Research positif terhadap langkah Samaiden Group Bhd untuk memasuki pasaran Indonesia dengan pengurusan kumpulan mengenal pasti potensi besar bagi rumusan luar grid serta pemindahan ibu kota ke Nusantara. 

 

Katanya, kumpulan itu juga merancang untuk mengembangkan perniagaan ke selatan Indoensia bagi memanfaatkan pasara tenaga boleh diperbaharui (RE) yang sedang berkembang pesat.

 

"Pihak pengurusan kini sudah mengenal pasti beberapa projek di Indonesia dan sebahagiannya sedang dalam perbincangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

 

Terdahulu, kumpulan tu menerusi Samaiden SG Pte Ltd memeterai perjanjian kerjasama (JVA) dengan PT MCS Bina Energi bagi penubuhan syarikat usaha sama untuk menerokai pasaran RE di Indonesia.

 

Kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran teknikal Samaiden dalam perkhidmatan EPCC dan rangkaian perniagaan PT MCS di Indonesia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Samaiden, PT MSC Bina tubuhkan syarikat kerjasama teroka pasaran RE Indonesia

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan tertunggak Samaiden kini berjumlah RM313.5 juta.

 

Katanya, di Malaysia, prospek kekal cerah untuk pengisian semula memandangkan tender EPCC akan datang untuk kuota 800MW yang diperuntukkan di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

"Difahamkan, kumpulan itu sedang mengintai sekurang-kurangnya 100MW pekerjaan EPCC untuk CGPP, yang diterjemahkan kepada potensi buku pesanan tambahan RM300 juta hingga RM400 juta," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.57 sesaham.- DagangNews.com