MIDF Research positif terhadap peranan Dialog dalam usaha kembangkan kilang Morimatsu Dialog di Pengerang | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap peranan Dialog dalam usaha kembangkan kilang Morimatsu Dialog di Pengerang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - MIDF Research positif terhadap peranan Dialog Group Berhad dalam usaha dengan Morimatsu International Holdings Co. Ltd. yang akan mengembangkan kilang Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn Bhd di Pengerang dengan pelaburan RM250 juta.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa usaha tersebut menyumbang sebahagian daripada inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

“Kami percaya dengan seruan Malaysia untuk peralihan tenaga yang teratur dan rangsangan peranan sektor minyak dan gas dalam menyokong tenaga lebih bersih, Dialog berada di landasan positif.

 

“Dengan reputasi kukuh kedua-dua Dialog dan Morimatsu, kami berpendapat bahawa pengembangan ini akan meningkatkan lagi nilai cadangan kerjasama dan mengembangkan lagi portfolio Dialog dalam masa terdekat,” ulasnya dlaam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma berkenaan tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan memandangkan projek kerjasama di Pengerang masih belum dimulakan sehingga 2025.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.28 sesaham.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Morimatsu International, Dialog Group labur RM250 juta besarkan operasi kilang Morimatsu Dialog di Pengerang

 

 

Semalam, Morimatsu Antarabangsa Holdings Co. Ltd. (Morimatsu) dan Dialog Group Bhd (Dialog) dilaporkan melabur RM250 juta untuk mengembangkan usaha samanya, Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn. Bhd. (MDSB) di Pengerang, Johor.

 

Pengembangan kemudahan 18,245 meter persegi terbabit adalah untuk meningkatkan perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi yang ditawarkan kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa dan disasarkan siap menjelang suku pertama 2025.

 

Kemajuan ini akan membolehkan MDSB memenuhi permintaan serantau dan antarabangsa sambil menyumbang kepada tambahan 500 peluang pekerjaan di Johor.

 

Morimatsu akan menumpukan pada peralatan pembuatan dan modul yang digunakan dalam pengeluaran bahan mentah untuk bateri EV, semikonduktor dan tenaga hijau.

 

Mereka menjangkakan pertumbuhan pesat dalam permintaan luar negara dalam sektor-sektor ini menyumbang terutamanya kepada pertumbuhan MDSB, dengan sasaran awal untuk mencapai hasil tahunan sebanyak RM300 juta.

 

Di bawah MDSB, Dialog juga telah memperoleh projek dari negara lain termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea dan Vietnam.  - DagangNews.com