MIDF Research positif terhadap prospek Gas Malaysia didorong perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek Gas Malaysia didorong perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - MIDF Research menjangkakan prospek Gas Malaysia Bhd kekal positif didorong perkembangan mampan ekonomi Malaysia pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan terus mengekalkan kecekapan operasinya selain kekal berdaya saing dalam mencari peluang untuk meneruskan pertumbuhan pada masa akan datang.

 

"Minyak mentah Brent yang dijangka stabil pada 2024 (purata AS$83 setong) serta pertumbuhan permintaan daripada sektor perindustrian, perladangan dan pengguna tempatan untuk LPG dan gas asli, menambah lagi keyakinan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 2QFY24 meningkat 12.5% kepada RM110 juta dipacu jualan gas asli yang lebih tinggi, yuran dan sumbangan usaha sama tetapi sebahagiannya diimbangi oleh kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Perolehan sesaham meningkat kepada 8.57 sen daripada 7.62 sen sebelumnya. 

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, susut sedikit 1.8% kepada RM1.98 bilion daripada RM2.02 bilion disebabkan oleh purata harga jualan gas asli yang lebih rendah.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, keuntungan bersih Gas Malaysia meningkat 10.3% tahun ke tahun kepada RM212.7 juta daripada RM192.9 juta, walaupun penurunan hasil 13.5% tahun ke tahun kepada RM3.86 bilion daripada RM4.46 bilion.

 

MIDF Research berkata, memandangkan pendapatan kumpulan itu berada dalam jangkaan, pihaknya tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan pada ketika ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.96 sesaham.- DagangNews.com