MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan dipacu projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan dipacu projek MRT3

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - MIDF Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pembinaan dipacu oleh tender projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) menjelang akhir 2022.

 

Firma itu berkata, penyerahan tender untuk CMC301 (anggaran saiz kontrak RM2.79 bilion) ditutup pada 30 Ogos 2022 manakala penyerahan untuk CMC302 (anggaran saiz kontrak RM13.94 bilion) dan CMC303 (anggaran saiz kontrak RM14.29 bilion) ditutup pada 30 September 2022.

 

Katanya, prospek juga kelihatan baik di Sarawak dengan jangkaan aliran kerja positif terutamanya disebabkan suntikan modal RM100 bilion menjelang 2030.

 

Selain itu, firma itu juga menantikan potensi pemulihan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura, yang mungkin menjadi fokus utama kerajaan baharu selepas pilihan raya umum.

 

Firma itu mengulangi pendirian bahawa mereka tidak bimbang dengan tekanan harga bahan binaan kerana syarikat di bawah liputannya mampu mengimbangi kesan itu hasil daripada langkah perlindungan margin seperti klausa variasi harga.

 

"Beberapa kontrak akan menetapkan harga dalam inflasi kos yang berpotensi atau rundingan akan dilakukan dengan pelanggan untuk penetapan semula harga kontrak.

 

"Kami menjangkakan margin keuntungan akan bertambah baik pada 4QCY22 dan seterusnya tetapi mungkin sedikit terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.

 

"Kontraktor juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk projek kritikal tetapi keadaan dijangka bertambah baik pada masa hadapan kerana sektor pembinaan adalah antara yang diberi kebenaran mendapatkan pekerja daripada 15 negara sumber," katanya.

 

Firma itu menyukai syarikat yang mempunyai kunci kira-kira yang kukuh dan kehadiran di luar negara yang kukuh, iaitu Gamuda (beli, TP: RM4.71), IJM Corp (beli, TP: RM2.18) serta Sunway Construction (beli, TP: 1.87) dan kesemuanya calon utama bagi mendapatkan kontrak utama MRT3. - DagangNews.com