Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Nov - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Plantation Bhd., sebaliknya menyemak turun harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM3.80 berbanding RM6.22 sebelum itu.
Semakan TP itu diperoleh dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 20.1 sen kepada sasaran baharunya sebanyak 19 kali (berbanding 36 kali sebelum ini).
Firma itu menganggap nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang lebih rendah pada 19 kali (dalam julat pemain industri antara 17 hingga 25 kali) untuk mencerminkan kebimbangan penilaian terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dihadapi kumpulan.
Malah, dalam nota kajian hari ini, firma itu turut menyemak naik pendapatannya bagi FY21 dan FY22 masing-masing kepada RM2.06 bilion dan RM1.38 bilion dengan mengambil kira prestasi segmen huluan yang mantap.
Bagaimanapun, penganalisisnya, Shahira Rahim berkata, kenaikan bagi FY22, sebahagiannya diimbangi dengan impak daripada pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan dalam Belanjawan 2022, pada 29 Oktober lalu.
Beliau menjangkakan harga minyak mentah sawit yang tinggi akan terus menyokong pendapatan kumpulan.
"Tetapi, kami masih bimbang mengenai kesan terhadap pengeluaran tandan buah segar kumpulan memandangkan kekurangan tenaga buruh boleh menjejaskan proses pendebungaan tandan sawit.
"Namun begitu, kami percaya pengeluaran tandan buah segar akan meningkat apabila pekerja asing mula menyertai sektor perladangan selewat-lewatnya suku pertama 2022," jelasnya.
Baca : Segmen huluan lonjak untung bersih Sime Darby Plantation 3 kali ganda kepada RM610 juta
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih Sime Darby Plantation meningkat lebih 3 kali ganda kepada RM610 juta berbanding RM190 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong terutamanya menerusi segmen huluan, sekali gus mengimbangi kelemahan daripada segmen hiliran.
Pendapatan dalam tempoh itu turut meningkat 59% kepada RM5.06 bilion daripada RM3.18 bilion di sebalik cabaran operasi akibat penularan pandemik COVID-19 dan masalah kekurangan tenaga buruh.
Segmen huluan pada suku ketiga merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM913 juta, meningkat 234% daripada tempoh sebelumnya, manakala PBIT segmen hiliran susut kepada RM7 juta daripada RM71 juta pada tahun sebelumnya.
Shahira bagaimanapun, menjangkakan segmen hiliran akan terus merekodkan prestasi yang baik memandangkan operasi di rantau Asia Pasifik merekodkan margin dan jumlah jualan yang lebih tinggi termasuk eksport.
"Selain itu, syarikat penapisan di benua Eropah dan Afrika juga mencatatkan prestasi yang baik didorong harga jualan lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) terhadap kumpulan, beliau berkata, kebenaran rentas negeri akan membantu mempercepatkan proses penilaian tersebut (yang terjejas akibat perintah sekatan pergerakan sebelum ini).
"Pada masa sama, kami juga percaya prospek kumpulan masih kekal kukuh memandangkan Sime Darby Plantation merancang untuk melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan dengan pelan tindakan khusus apabila laporan berkenaan lengkap pada awal 2022," jelasnya.
Syarikat gergasi perladangan Malaysia itu dikenakan sekatan import oleh CBP AS, berkuat kuasa 30 Disember 2020 selepas perintah sekatan dikeluarkan ke atas minyak sawit dan produk minyak sawitnya berikutan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh kumpulan anti pemerdagangan manusia Liberty Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong, pada April tahun lalu.
Setakat 9.19 pagi ini, harga saham Sime Darby Plantation menokok 11 sen atau 2.78% kepada RM4.07 dengan 139,700 saham diniagakan. - DagangNews.com