KUALA LUMPUR 9 Feb - MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 9.1% dan 9.2% setelah mengambil kira persekitaran yang terus mencabar.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan penarafan sahamnya dengan saranan 'beli', tetapi harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM30.03 berbanding RM33.07 sesaham selepas menyemak semula unjuran pendapatan.
"Pendapatan F&N bagi suku pertama sebanyak RM92.8 juta membentuk 19.9% daripada anggaran tahun penuh kami dan 22.5% konsensus, yang mana adalah tersasar daripada jangkaan kami," katanya dalam nota kajiannya hari ini.
Dalam laporan kewangan kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2021 yang diumumkan semalam, F&N merekodkan untung bersih yang lebih rendah, susut 32.06% kepada RM92.95 juta daripada RM136.81 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Baca : F&N catat untung Q1 lebih rendah sebanyak RM92.95 juta, mungkin pertimbang selaras harga produk elak tekanan margin
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 2.2% kepada RM1.11 bilion berbanding RM1.08 bilion.
Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan berkembang 23.5% kepada RM1.11 bilion berbanding RM896.3 juta pada suku keempat berakhir 30 September 2021.
Ini berikutan jualan yang lebih tinggi menerusi F&B Thailand dan F&B Malaysia hasil daripada eksport yang tinggi dan aktiviti jualan menjelang musim perayaan berbanding waktu puncak pada suku keempat.
Menurut MIDF Research, risiko penurunan kepada penarafan ini termasuklah kadar tukaran ringgit dan baht yang tidak menguntungkan, kenaikan harga bahan mentah dan gangguan dalam rantaian bekalan.
Katanya, kumpulan menjangkakan persekitaran pada masa akan datang terus mencabar disebabkan kenaikan harga bahan mentah dan pembungkusan serta ketidaktentuan yang timbul akibat pandemik COVID-19.
"Malah, kumpulan hanya akan menyelaraskan harga produk secara berperingkat sebagai pilihan terakhir bagi mengurangkan tekanan margin.
"Ini berikutan kenaikan harga komoditi dan bahan input lain. Kumpulan juga merancang untuk terus memberi tumpuan kepada eksport dan pembungkusan makanan halal yang menjadi tunjang utama," jelasnya.
Setakat 11.22 pagi, harga saham F&N menokok 4 sen atau 0.16% kepada RM24.34 dengan 20,200 saham diniagakan. - DagangNews.com