MIDF Research unjur 2HFY22 lebih cemerlang buat P.I.E. Industrial | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur 2HFY22 lebih cemerlang buat P.I.E. Industrial

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - MIDF Research mengunjurkan kehadiran pekerja asing baharu dan permulaan operasi baharu kilang seluas 120,000 kaki persegi akan menjadikan 2HFY22 lebih cemerlang buat P.I.E. Industrial Berhad.

 

Firma itu berkata, walaupun mendapat kelulusan pekerja asing yang lebih rendah tetapi kumpulan itu yakin dapat menstabilkan aktiviti pengeluarannya dan menyokong rancangan pertumbuhannya dalam tempoh terdekat.

 

Katanya, proses pengambilan pekerja sudah bermula dan dijangka selesai pada akhir Ogos 2022.

 

"Pendapatan kumpulan akan dipacu oleh pelan pengembangan kapasiti kilangnya yang didorong oleh permintaan kukuh daripada pelanggan utama sedia ada dan baharu diperoleh kerana ia hampir menggunakan sepenuhnya kapasiti sedia ada.

 

"Kami melihat tambahan c.25% dalam kapasiti pada suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) turun 36.41% kepada RM8 juta daripada RM12.59 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh kos buruh yang lebih tinggi dan peruntukan untuk inventori yang bergerak perlahan pada suku tersebut.

 

Hasil suku tahunan meningkat 25.88% kepada RM296.3 juta daripada RM235.38 juta pada tahun sebelumnya di tengah-tengah permintaan yang lebih tinggi daripada pelanggan baharu dan sedia ada untuk pembuatan elektronik, produk wayar mentah dan kabel serta produk abah-abah wayar.

 

Bagi enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2022 (6MFY22), keuntungan bersihnya meningkat 11.43% kepada RM27.1 juta, berbanding RM24.32 juta pada 6MFY21. 

 

Hasil bagi 6MFY22 juga meningkat 13% kepada RM563.29 juta daripada RM498.55 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.86.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan dengan risiko seperti kesukaran untuk memenuhi tempahan akibat pengangguhan daripada pelan pengembangan dan kekurangan tenaga pekerja dan kehilangan tempahan daripada pelanggan utama," katanya. - DagangNews.com