MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 7.5% pada 2024 didorong pertumbuhan pendapatan yang stabil | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 7.5% pada 2024 didorong pertumbuhan pendapatan yang stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - MIDF Research menjangkakan perdagangan runcit berkembang sebanyak 7.5% pada 2024 didorong beberapa faktor termasuk pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan selain pertumbuhan pendapatan yang stabil.



Firma penyelidikan itu berkata, semua komponen termasuk jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit bertambah baik sebanyak 12.3% dan 9% manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 5.2%. 

 

Permintaan pengguna kekal teguh dan berdaya tahan seperti yang dicerminkan dalam prestasi jualan perdagangan pengedaran.

"Melangkah ke hadapan, momentum permintaan domestik yang menggalakkan dijangka berterusan pada 2024 disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil, peningkatan dalam aktiviti pelancongan serta dasar ekonomi yang menyokong dan akomodatif.

 

"Bagaimanapun, tekanan inflasi yang meningkat mungkin menjejaskan permintaan pengguna bergantung kepada kesan potensi pendekatan subsidi bersasar dan turun naik dalam harga komoditi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat RM1.7 trilion jualan tahunan pada 2023 - DOSM

 

Selepas mencatatkan kadar pengembangan dua angka pada 2022, perdagangan pengedaran Malaysia mencatatkan pertumbuhan 7.7% pada tahun berikutnya.

 

Jualan kenderaan bermotor masih pada kadar dua digit 12.3% (2022: 47.6%) manakala perdagangan borong dan runcit masing-masing meningkat sebanyak 5.2% (2022: +10.7%) dan 9% (2022: +23.9%).

 

Pada bulan terakhir 2023, keseluruhan perdagangan dalam negeri meningkat dengan stabil sebanyak 4.8% disokong oleh pertumbuhan dalam ketiga-tiga komponen. - DagangNews.com