MIDF Research unjur sektor pembinaan terus catat pertumbuhan positif pada suku keempat 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur sektor pembinaan terus catat pertumbuhan positif pada suku keempat 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Sektor pembinaan Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan positif pada suku keempat 2023 disokong pengembangan perbelanjaan fiskal kerajaan dan kemajuan dalam projek sektor swasta dan awam.

 

MIDF Research berkata, sektor itu dijangka berkembang lebih kukuh pada 7.5% pada 2023 (2022: 5%) berikutan keadaan bekalan yang lebih baik.

 

Katanya, pertumbuhan dalam sektor itu diukur melalui kerja pembinaan yang dilakukan, meningkat kepada 9.6%, pengembangan terpantas dalam tiga suku tahunan.

 

Pada Oktober 2023, kerja-kerja kejuruteraan awam, merangkumi 40.5% daripada jumlah keluaran pembinaan, mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 17.1%.

 

Selain itu, kerja pembinaan yang dilakukan dalam sektor kediaman dan aktiviti perdagangan khas kedua-duanya berkembang lebih pantas pada 7.9% dan 16.2% masing-masing.

 

"Pertumbuhan itu sebahagiannya terjejas oleh penguncupan 0.7% dalam pembinaan bukan kediaman, penurunan pertama dalam tujuh suku tahunan.

 

"Pada masa yang sama, perbadanan awam mencatatkan peningkatan kukuh dalam jumlah kerja yang dilakukan, melonjak kepada 25.6% disebabkan penyiapan kerja-kerja kejuruteraan awam yang menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada keseluruhan pertumbuhan output pembinaan pada bulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pengeluaran oleh sektor swasta juga mencatatkan pertumbuhan positif, walaupun pada kadar yang lebih sederhana iaitu 8.6% berbanding 17.3% tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini disebabkan pengembangan lebih perlahan dalam pembinaan kediaman dan kerja-kerja kejuruteraan awam.

 

Sebaliknya, jumlah kerja pembinaan yang dilakukan untuk projek milik kerajaan merosot 0.8% menandakan penurunan tahun pertama selepas pertumbuhan lima suku tahunan.

 

Pertumbuhan yang lebih lemah disebabkan kesan asas yang lebih tinggi kerana tahap pengeluaran dalam projek kerajaan sebenarnya meningkat semula kepada 6.4% pada Oktober, berbalik daripada penurunan 7.6% pada bulan sebelumnya.

 

"Bersama-sama dengan lonjakan 28% dalam kerja-kerja syarikat awam, keluaran sektor awam sebahagian besarnya menyumbang kepada peningkatan 3.4% daripada 0.4% pertumbuhan pada suku kedua 2023 yang lebih daripada mengimbangi penurunan 4.2% dalam keluaran sektor swasta," katanya. - DagangNews.com