MIDF semak naik unjuran KDNK 2021 kepada 6.2% | DagangNews Skip to main content

MIDF semak naik unjuran KDNK 2021 kepada 6.2%

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Firma penyelidikan, MIDF Research menyemak naik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sepanjang tahun ini kepada 6.2%. 

 

Ini selepas negara mencatatkan penguncupan KDNK bagi suku pertama 2021 (1Q21) yang lebih kecil selain ekonomi dijangka berkembang bagi tahun ini, menurut MIDF. 

 

“Ini akan meningkat daripada kejatuhan pada tahun 2020 sejajar dengan aktiviti domestik dan global yang diteruskan semula, juga kerana faktor asas yang lebih rendah pada 2020. 

 

“Sebelum ini, kami menyemak turun unjuran kerana bimbang terhadap impak negatif daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan juga beberapa sekatan semula di negara-negara utama. 

 

“Namun, prestasi KDNK baru-baru ini, bukan sahaja di Malaysia malah negara utama lain juga menunjukkan impaknya kurang teruk daripada jangkaan kerana hampir semua ekonomi masih dibenarkan beroperasi dan pengguna dilihat beralih kepada perbelanjaan atau pembelian dalam talian semasa sekatan pergerakan,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melaporkan ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 0.5% bagi 1Q21 di sebalik pelaksanaan PKP 2.0. 

 

Baca : Ekonomi suku pertama menguncup 0.5% akibat PKP 2.0

 

Pertumbuhan itu lebih baik berbanding kadar -3.4% dicatatkan pada 4Q20. 

 

Baca : 2021 : KDNK kekal diunjur berkembang 6-7.5%

 

Bank pusat itu sekali gus mengekalkan unjuran KDNK bagi sepanjang tahun ini dalam jajaran 6% hingga 7.5%. 

 

Tambah MIDF, sokongan dasar yang bersasar juga telah mengurangkan impak pelaksanaan semula sekatan pergerakan dan akan berterusan sehingga hujung tahun ini. 

 

“Dengan pelaksanaan PKP 3.0, kami menjangkakan impaknya akan lebih kurang sama dengan PKP 2.0 kerana sekatan yang serupa. 

 

“Dalam pada itu, permintaan luaran yang kukuh juga akan terus menyokong pertumbuhan secara signifikan di mana kami juga telah menyemak kenaikan baru-baru ini.

 

“Mengambil kira semua faktor-faktor ini, ditambah pula kesan asas yang rendah pada suku tahun akan datang, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK kepada 6.2% bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y) daripada 5.4% ramalan awal,” jelas MIDF. - DagangNews.com