MIDF tingkatkan saranan saham Tasco kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

MIDF tingkatkan saranan saham Tasco kepada 'beli'

Tasco Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - MIDF Research meningkatkan saranan saham syarikat pengendali logistik, Tasco Berhad kepada saranan 'beli.

MIDF Research berkata, saranan tersebut diubah berbanding saranan 'neutral' pada sebelumnya.

"Kami berpendapat bahawa peningkatan saranan ini tepat pada masanya untuk kumpulan ini (Tasco) memandangkan faktor  persekitaran yang telah meningkatkan pandangan asas Tasco dalam persekitaran operasi yang mencabar," jelas MIDF Research.

Tasco juga akan mencapai peningkatan pendapatan dalam beberapa aspek seperti peningkatan teratas dalam International Business Solutions (IBS).

Selain itu, pemulihan yang pantas dalam segmen Penyelesaian Perniagaan Domestik (DBS) turut menjadi aspek kepada peningkatan pendapatan Tasco.

Tambah MIDF Research, peningkatan pendapatan Tasco dapat dicapai melalui pengembangan margin melalui skim Elaun Cukai Pelaburan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Segmen Air Freight Forwarding (AFF) Tasco menyaksikan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM3.4 juta berbanding RM1.2 juta pada suku pertama 2021.

Menyentuh berkaitan anggaran pendapatan syarikat berkenaan, MIDF Research berkata, pihaknya optimis terhadap prospek pendapatan Tasco dengan membuat semakan terhadap keuntungan selepas cukai (PAT).

Semakan tersebut dibuat dengan unjuran hingga RM39.8 juta dan RM43.8 juta bagi tahun kewangan 2021 dan 2022.

Jumlah tersebut jauh berbeza dengan anggaran terdahulu dengan masing-masing berjumlah RM17.6 juta dan RM19.5 juta.

MIDF Research turut membuat semakan semula harga sasaran sesaham (TP) kepada RM2.23 berbanding RM1.32 pada sebelumnya. - DagangNews.com