MIDF unjur inflasi lebih tinggi tahun ini susulan Indeks Harga Pengeluar April menandakan tekanan akibat peningkatan kos  | DagangNews Skip to main content

MIDF unjur inflasi lebih tinggi tahun ini susulan Indeks Harga Pengeluar April menandakan tekanan akibat peningkatan kos 

IHPR Malaysia bagi April 2024 meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut dalam peningkatan terpantas sejak Disember 2022. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Mei — Inflasi Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada April 2024 menandakan tekanan kos yang lebih tinggi untuk perniagaan tempatan, kata MIDF Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun perniagaan akan terjejas oleh turun naik harga komoditi global, tekanan kos akan lebih tinggi tahun ini disebabkan kesan perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi serta kenaikan harga bahan api.

 

“Sehubungan itu, kami menjangka inflasi pengguna akan meningkat sedikit pada 2.7 peratus tahun ini, berbanding 2.5% pada 2023, terutamanya disebabkan oleh perubahan dari segi penawaran,” kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan.

 

IHPR Malaysia bagi April 2024 meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut dalam peningkatan terpantas sejak Disember 2022.

 

MIDF berkata, mengikut sektor, sektor pembuatan menyaksikan kos input meningkat lebih cepat pada 0.8 peratus y-o-y (Mac 2024: 0.6 peratus y-o-y). Inflasi sektor perlombongan lebih tinggi pada 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3 peratus yoy), kenaikan paling teruk dalam 22 bulan.

 

Bagaimanapun, inflasi harga bagi sektor pertanian merosot sedikit kepada 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5 peratus).

 

Kos untuk bekalan elektrik, gas dan air berkembang lebih cepat sebanyak 1.0 peratus, tertinggi dalam 10 bulan selepas kenaikan perlahan sebanyak 0.1 peratus yoy dalam dua bulan sebelumnya.

 

“Menjelang peringkat pengeluaran, kos pemprosesan bahan mentah meningkat pada kadar yang sama sebanyak 7.4 peratus seperti pada bulan sebelumnya, yang masih merupakan bacaan tertinggi sejak Jun 2022.

 

"Kos untuk memproses bahan perantaraan susut lagi tetapi sedikit pada 0.1 peratus (Mac 2024: -0.4 peratus yoy), deflasi paling lembut dalam setahun," katanya.

 

Kos pemprosesan barang siap melonjak sebanyak 2.4 peratus (Mac 2024: 1.9 peratus), paling tinggi dalam tempoh tujuh bulan. - DagangNews.com