MIDF unjur KDNK 2021 lebih rendah pada 4.6% | DagangNews Skip to main content

MIDF unjur KDNK 2021 lebih rendah pada 4.6%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - MIDF Research menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 4.6% berbanding unjuran awal, 6.2% ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengekalkan unjuran KDNK 2021 antara 6 hingga 7.5%. 

 

Menurut firma itu, meskipun, ekonomi berada di landasan pemulihan tetapi pertumbuhannya terganggu dengan langkah sekatan itu dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 menjadi lebih buruk. 

 

"Ia dijangka menyebabkan perbelanjaan pengguna lemah disebabkan pergerakan yang terhad dan aktiviti perniagaan juga semakin berkurangan kerana penutupan beberapa sektor kurang penting.

 

"Kesannya, bagaimanapun, tidak seteruk PKP 1.0 tahun lalu memandangkan senarai sektor yang beroperasi semakin meluas merangkui rantaian bekalan bagi sektor penting," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Tambahnya, perdagangan berkaitan sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), produk berkaitan getah dan minyak sawit akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang meningkat. 

 

"Tetapi, untuk industri berkaitan pengguna, ia akan berdepan dengan situasi permintaan yang lemah kerana pergerakan orang ramai adalah terhad," katanya.

 

Pada 28 Mei lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

 

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. 

 

Susulan itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) bernilai RM40 bilion dengan membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

 

MIDF Research berkata, tambahan pakej rangsangan fiskal dari kerajaan, penggunaan digitalisasi yang meningkat serta platform online, merupakan antara faktor yang dapat mengurangkan kesan sekatan pergerakan ini ke atas ekonomi.

 

"Pembukaan semula ekonomi, bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19.

 

"Ia boleh dicapai dengan cepat jika program vaksin berjalan lancar yang dijangka semakin meningkat pada separuh kedua tahun ini," katanya. 

 

Sehubungan itu, firma tersebut menjangkakan kelonggaran sekatan ini secara berperingkat akan meningkatkan aktiviti ekonomi menjelang akhir tahun ini. - DagangNews.com