MIHAS 2022: Taman Halal Malaysia tarik pelaburan lebih RM16 bilion - PM | DagangNews Skip to main content

MIHAS 2022: Taman Halal Malaysia tarik pelaburan lebih RM16 bilion - PM

Johor Halal Park - Gambar UMLand
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Taman Halal Malaysia telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, yang mana RM9.5 bilion atau 59% dari jumlah itu adalah pelaburan langsung asing (FDI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.

 

"Antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada HDC (Halal Development Corporation Bhd).

 

"Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal, serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa ke-18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, keupayaan menganjurkan MIHAS ke-17 secara maya tahun lepas berjaya mencatatkan hasil jualan eksport sebanyak RM2.13 bilion yang sekali gus meletakkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di tempat pertama bagi “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik” pada majlis penganugerahan ‘World Trade Promotion Organization 2022'.

 

Beliau berkata, penganjuran MIHAS merupakan satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri halal di Malaysia dan seterusnya memperkasakan lagi jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan MIHAS 2022 di MITEC pada 8 September 2022

 

 

"Peningkatan hasil jualan daripada pameran perdagangan bertaraf antarabangsa seumpama MIHAS dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

"Malah, peningkatan jualan sektor halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa.

 

 

pm

 

 

"Saya difahamkan bagi pameran kali ini, terdapat tiga komponen utama MIHAS 2022, iaitu pertama, Pameran Produk dan Perkhidmatan Halal; kedua, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP); dan ketiga, Hab Pengetahuan," katanya.

 

Beliau berkata, MIHAS edisi ke-18 ini menampilkan pameran secara fizikal dan maya, sesi pemadanan perniagaan dengan teknologi kecerdasan buatan (atau AI), ruang interaksi maya, dan sesi perkongsian serta persidangan secara langsung.

 

Katanya, Sesi Hab Pengetahuan pada tahun ini memperincikan peluang di pasaran eksport, isu kemampanan halal, serta penggunaan teknologi semasa agar sentiasa relevan dalam ekosistem halal global. - DagangNews.com