Milenial digalak ceburi keusahawanan sebagai pilihan kerja: MASMED sedia bantu | DagangNews Skip to main content

Milenial digalak ceburi keusahawanan sebagai pilihan kerja: MASMED sedia bantu

Oleh SITI HAFSAH ZULKARNAIN

 

 

BERDEPAN krisis ekonomi dan tahap pengangguran yang tinggi pada masa kini akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memberi impak yang sangat ketara kepada alternatif pilihan kerjaya terutama kepada generasi milenial yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi.

 

Suka atau tidak pada masa kini setiap graduan yang dilahirkan harus lebih berdaya saing dan mampu mencipta dan mengambil peluang yang ada dalam memastikan mereka dapat bekerja dalam apa jua bidang yang diminati dan menerokai bidang baru dalam keusahawanan yang agak sedikit berbeza dengan bidang pengajian mereka sebelum ini.

 

Keusahawanan dapat dilihat sebagai "mesin pertumbuhan” di mana usahawan dapat memberikan sumbangan positif yang ketara tidak hanya dalam aspek pembangunan ekonomi tetapi juga pembangunan sosial.

 

Kepentingan keusahawanan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibuktikan dari pelbagai sokongan mekanisme dan dasar oleh kerajaan Malaysia.

 

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN) diperkenalkan sebagai satu garis panduan untuk menyediakan kerangka atau ekosistem yang holistik untuk pembangunan keusahawanan di Malaysia.

 

Ia dianggap sebagai transformasi dan ledakan perkembangan ekonomi global dengan penglibatan segenap lapisan masyarakat dan memacu pertumbuhan perusahaan yang mengadaptasikan teknologi dan inovasi dalam perniagaan.

 

Dasar ini dan keseluruhan teras strategiknya diharap menjadi tonggak kepada daya saing negara di waktu kita berhadapan medan persaingan ekonomi global dan ledakan arus perubahan teknologi yang berkait terus dengan Revolusi Industri 4.0.

 

Golongan milenial di Malaysia perlu lebih responsif dan proaktif kepada dasar ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang bercirikan keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

 

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 juga memberikan sasaran kepada semua Universiti Awam bagi merealisasikan hasrat kerajaan melalui pelbagai teras dan inisiatif yang bersesuaian dengan ekosistem keusahawanan yang diwujudkan di dalam kampus.

 

Berdepan dengan kesan akibat pandemik COVID-19, mahasiswa juga perlu merubah persepsi mereka dan melihat perniagaan sebagai salah satu pilihan kerjaya yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

 

Generasi milenial yang dihasilkan pada hari ini juga perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta pekerjaan dan bukan sahaja mencari pekerjaan tetap sebagaimana amalan sebelum ini.

 

Tuntutan kehidupan yang kian mencabar pada masa kini menjadikan bidang keusahawanan dianggap sebagai batu loncatan dan alternatif baru sebagai pilihan kerjaya yang relevan untuk diterokai oleh generasi milenial.

 

Perubahan yang ketara dalam aktiviti perniagaan yang dipacu secara teknologi dan digital merupakan antara pendekatan yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan generasi milenial.

 

Ilmu pengetahuan dengan menggunakan pendekatan yang terkini dalam penggunaan aplikasi atas talian dan media sosial mampu menjadikan bidang keusahawanan terus berdaya saing di pasaran tempatan dan global.

 

masmed

 

Bagi memantapkan lagi tahap kesediaan mahasiswa dalam melayari bidang perniagaan yang kian mencabar ini, pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) sentiasa menawarkan pelbagai latihan, khidmat nasihat dan bimbingan berterusan kepada warga universiti dalam memastikan agenda untuk melahirkan lebih ramai usahawan dikalangan bumiputera dapat dicapai.

 

Antara pendekatan dan inisiatif yang diwujudkan di dalam kampus adalah mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian melalui platform e-dagang dengan memperkenalkan Microsite Shopee UiTM eMall kepada warga universiti yang melibatkan usahawan dikalangan mahasiswa, alumni dan staf.

 

Microsite Shopee UiTM eMall ini juga bukan sahaja dapat mempromosikan produk warga UiTM, namun mampu menjadi platform pengiklanan perkhidmatan kepada pelanggan dalam masa terdekat.

 

Dengan adanya inisiatif sebegini secara tidak langsung akan memudahkan mahasiswa untuk menceburi bidang perniagaan seawal menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mengembangkan perniagaan apabila mereka tamat pengajian kelak. – DagangNews.com

 

 

 

hafsah
Sr. Ts. Siti Hafsah bt Zulkarnain
merupakan Pengarah
Pusat Keusahawanan Mahasiswa
Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED)
Universiti Teknologi MARA
40450 Shah Alam, Selangor
Email: siti_hafsah@uitm.edu.my