Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pasaran saham tempatan dibuka lebih tinggi pada awal dagangan pagi ini didorong oleh lonjakan dalam kebanyakan saham syarikat yang besar.
Ketika dibuka pada 9 pagi, penanda aras indeks pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 4.02 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,595.29 kepada 1,599.31.
Antara saham yang melonjak adalah Kuala Lumpur Kepong Berhad, Widetech (M) Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad, Bursa Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad, MR D.I.Y Group (M) Berhad, Tasco Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.
Rakuten Trade Research menjangkakan minat membeli akan kembali hari ini untuk menguji paras 1,600.
“Di pasaran tempatan, FBM KLCI menghadapi beberapa pengambilan keuntungan semalam terutamanya melibatkan bank-bank.
“Namun, kami menjangkakan minat membeli akan kembali hari ini untuk menguji paras 1,600 memandangkan harga kedua-dua minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi beberapa bulan,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Jelas Rakuten Trade, mentah Brent menghampiri unjurannya iaitu AS$65 setong memandangkan pelaburan beralih ke aras komoditi untuk memperoleh keuntungan ketika proses pemulihan.
Harga minyak mentah sedang menerima manfaat terutamanya daripada pengurangan bekalan termasuk musim sejuk di beberapa buah negara, katanya.
“Bagi Februari sahaja, harga mentah Brent telah melonjak sebanyak 17%,” tambahnya lanjut.
Sementara itu, di peringkat global, Rakuten Trade berkata, ekuiti Amerika Syarikat (AS) didagangkan tidak menentu semalam.
Jelasnya, minat membeli hanya muncul apabila Rizab Persekutuan AS menekankan pendiriannya untuk mengekalkan kadar faedah rendah selama-lamanya.
“Walaupun kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq jatuh ke dalam paras negatif, namun Dow Jones Industrial Average meningkat 90 mata untuk ditutup pada satu lagi rekod tertinggi melebihi paras 31,600,” kata Rakuten Trade. - DagangNews.com