Mindef tawar kontrak kira-kira RM50 juta bekal 5 jambatan sokongan logistik Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Mindef tawar kontrak kira-kira RM50 juta bekal 5 jambatan sokongan logistik Tentera Darat

Jambatan sokongan logistik penting sebagai penghubung semasa latihan dan operasi Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengeluarkan tender bagi kontrak membekal dan menghantar 5 jambatan sokongan logistik (LSB) untuk Tentera Darat. 

 

Tender itu yang dikeluarkan bulan lalu mempelawa syarikat tempatan yang berkelayakan untuk menawarkan harga kontrak.

 

LSB adalah jambatan pasang siap dan binaan pantas mengikut sepertimana konsep jambatan Bailey yang diperkenalkan tentera British semasa Perang Dunia Kedua.

 

 

Jambatan Bailey sangat popular kerana rekabentuk modular lalu menjadi salah satu kelengkapan sokongan logistik untuk Tentera Darat dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Kapal
Anggota kor jurutera menyiapkan jambatan LSB dalam satu latihan.

 

Bagaimana pun, tiada nilai kontrak atau tawaran dinyatakan dalam tender berkenaan.

 

Sebelum ini tender membekalkan 2 buah LSB telah dikeluarkan pada tahun 2021 yang mana kontrak itu dianugerahkan kepada syarikat tempatan, Stare Resources Sdn. Bhd. (Stare Resources) bernilai RM17.2 juta. 

 

Dua jambatan LSB ini dioperasikan oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

 

Stare Resources merupakan syarikat tempatan yang bekerjasama dengan Nadicorp Holding dalam melaksanakan projek terutamanya mengenai jambatan.

 

Kapal
Jambatan Bailey.

 

Kapal
Kakitangan JKR memasang jambatan Bailey semasa latihan menghadapi bencana.

 

Sehubungan itu, anggaran nilai tender atau kos pembelian LSB baharu ini boleh dijangka berdasarkan kontrak terdahulu yang mungkin antara RM43 juta hingga RM50 juta.

 

Ini berdasarkan nilai semasa termasuk pertukaran matawang.

 

Jambatan sokongan logistik ini diperlukan oleh Tentera Darat sebagai penyambung dan penghubung sama ada semasa latihan atau operasi sebenar.

 

Dengan bentuk geografi negara yang mempunyai banyak sungai serta halangan lain, penggunaan LSB adalah perlu.

 

Begitu juga semasa berlakunya bencana seperti banjir besar yang menyebabkan jambatan sedia ada runtuh atau laluan terputus.

 

Kapal
Model jambatan LSB yang dipamerkan Stare Resources semasa DSA 2024.

 

Kapal

 

Difahamkan, LSB yang diperlukan dalam tender ini ialah bagi saiz panjang antara 40 meter (m) hingga 80m dengan lebar jalan 4.2m.

 

Jika mengikut spesifikasi umum jambatan sokongan logistik ini boleh menampung beban sehingga 110 tan.

 

Ini untuk memastikan pergerakan tentera, bekalan, kelengkapan tempur dan sokongan logistik lain kepada pasukan hadapan dapat digerakkan melalui jambatan berkenaan.

 

Stare Resources dimaklumkan turut bersaing untuk memenangi kontrak ini menerusi konsortium Nadi-Fleetsol-Stare.

 

Semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu, syarikat ini turut mempamerkan varian jambatan sokongan logistik termasuk LSB yang ditawarkan kepada Tentera Darat.

 

Kapal

 

Jambatan LSB yang ditawarkan syarikat ini juga telah diuji sepenuhnya oleh Tentera Darat tiga tahun lalu yang mana ia didapati menepati spesifikasi yang diperlukan.

 

Adalah diharapkan agar syarikat yang terpilih memenangi kontrak 5 buah jambatan LSB nanti memiliki kemampuan bukan sahaja membekal, malah sokongan teknikal jangka panjang. - DagangNews.com