SHAH ALAM 18 Mac - Minggu Selangor di Ekspo Dubai 2020 yang berlangsung pada 6 hingga 12 Mac lalu berjaya merekodkan nilai pelaburan berpotensi berjumlah RM960.7 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, sebanyak 158 padanan perniagaan serta 92 potensi kerjasama perniagaan direkodkan dalam tempoh seminggu itu.
"Program itu berjaya menarik minat ahli-ahli perniagaan serta pelabur antarabangsa dengan mengambil peluang untuk bertemu dengan ahli-ahli delegasi dan menyatakan hasrat untuk melebarkan pelaburan dan perniagaan di Selangor.
"Pencapaian Minggu Selangor adalah nilai pelaburan berpotensi RM960.7 juta dengan 158 padanan perniagaan serta 92 potensi perniagaan.
"Antara sektor terbabit adalah gudang penyimpanan; perkhidmatan perundingan pengurusan; perkhidmatan perundingan kewangan; komunikasi dan multimedia; pengangkutan; logistik dan mobiliti; pendidikan; minyak dan gas; pengurusan hartanah; keusahawanan; pengurusan sumber manusia; teknologi pertanian; telekomunikasi serta kesihatan," katanya.
Chang Khim menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) mengenai World Expo Dubai di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, beberapa program dirancang semasa minggu itu antaranya Investment Talk oleh Invest Selangor, sesi perkongsian oleh ahli-ahli delegasi, lawatan ke syarikat-syarikat yang berpangkalan di Dubai , UAE serta program padanan perniagaan.
"Dengan promosi yang sudah dilaksanakan sebelum Minggu Selangor diadakan, jumlah pengunjung mingguan ke Pavilion Malaysia pada Minggu Selangor merekodkan 68,518 pengunjung iaitu jumlah tertinggi direkodkan setakat ini (berdasarkan rekod dari Urusetia Pavilion Malaysia iaitu Malaysia Green Technology Corporation) sepanjang Ekspo Dubai 2020 ini berlangsung sejak Oktober 2021 lalu.
"Minggu Selangor juga berjaya mencapai sasaran mingguan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dengan jumlah nilai perdagangan dan pelaburan sebanyak RM500 juta bagi setiap minggu yang dihoskan," katanya. - DagangNews.com