Minyak sawit ‘intai’ harga tertinggi sejak 2011 | DagangNews Skip to main content

Minyak sawit ‘intai’ harga tertinggi sejak 2011

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Minyak sawit bersedia untuk mencecah harga tertinggi dalam tempoh sedekad dibantu sentimen fenomena La Nina dan inventori kian merunding di Malaysia. 

 

Walaupun ketika ini dunia dibelenggu pandemik COVID-19 yang tidak berkesudahan, namun niaga hadapan minyak tropikal itu mampu mencecah kira-kira RM3,300 setiap tan pada tahun ini. 

 

Harga itu adalah paras tertinggi sejak tahun 2011, berdasarkan median 23 unjuran dalam tinjauan Bloomberg ke atas penganalisis, peniaga dan eksekutif perladangan, berbanding RM2,700 pada tahun lalu.

 

Pemilik Palm Oil Analytics di Singapura, Sathia Varqa berkata, dengan pengeluaran yang lebih rendah dan bilangan stok terendah dalam tempoh beberapa tahun, harga minyak sawit mentah dijangka terus meningkat sehingga pertengahan Februari depan. 

 

“Tetapi, harga itu akan menurun apabila pengeluaran mula pulih dan stok meningkat bermula Mac dan seterusnya,” ujarnya menurut Bloomberg.

 

Fenomena La Nina dan inventori yang meruncing di Malaysia melonjakkan pasaran, namun harganya mungkin menerima tekanan pada separuh kedua 2021 memandangkan pengeluaran sawit dan minyak kacang soya meningkat semula. 

 

Permintaan makanan dan bahan bakar dipengaruhi oleh ketidakpastian kerana virus COVID-19 terus berlanjutan di pasaran utama.

 

Dalam unjuran itu, harga minyak sawit bakal mencecah RM3,650 pada suku pertama 2021 (1Q21) sebelum menurun kepada RM3,400 pada 2Q21. 

 

Secara keseluruhannya, unjuran yang dibuat itu melibatkan julat harga minyak sawit bermula RM3,000 hingga RM4,150 bagi 1Q21, sementara RM2,500 hingga RM4,280 bagi 2Q21. 

 

Dalam pada itu, penganalisis veteran, Dorab Mistry menggariskan lima perkara yang bakal diperhatikan pemain industri iaitu fenomena La Nina, mandat minyak biodiesel di Indonesia, kekurangan pekerja dan pengeluaran, risiko pandemik dan permintaan minyak sawit.

 

Pertama, fenomena La Nina telah menyebabkan banjir di pengeluar kedua terbesar minyak sawit iaitu Malaysia dan mengeringkan tanaman kacang soya di Amerika Selatan. 

 

Jelas Mistry, eksport minyak bunga matahari juga merudum di Rusia dan Ukraine di mana trend ini dijangka berterusan untuk tempoh beberapa bulan mendatang. 

 

Bagi aspek mandat program biodiesel iaitu B30 di Indonesia, Mistry berkata, sentimen itu akan menjadi pemacu penting untuk melonjak ndustri sawit. 

 

Program yang menyaksikan campuran bahan bakar fosil dan 30% minyak sawit itu bakal memacu permintaan tinggi dari pengeluar utama, ujarnya.

 

Seterusnya, sekatan buruh asing di Malaysia selain banjir yang melanda negeri tanaman sawit utama di Malaysia telah mengekang peningkatan pengeluaran sawit di negara ini, kata Mistry.

 

Dalam pada itu, risiko pandemik COVID-19 kekal menjadi cabaran utama walaupun terdapat harapan terhadap pelancaran vaksin pandemik berkenaan pada tahun ini. 

 

Akhir sekali, ramal Mistry,  pemain industri bakal memerhati minat terhadap minyak sawit terutamanya melibatkan pengimport terbesar di India dan China. 

 

Peningkatan harga minyak sawit baru-baru ini telah menyebabkan pengurangan penghantaran ke India yang sensitif terhadap perubahan harga dan mungkin menghadapi lebih banyak lagi perubahan daripada pertumbuhan tanaman biji minyak domestiknya.

 

Di China, lonjakan ternakan babi telah mendorong peningkatan import kacang soya. - DagangNews.com