MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 15 tahun daripada QatarEnergy | DagangNews Skip to main content

MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 15 tahun daripada QatarEnergy

Gambar hiasan MISC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - MISC memperoleh kontrak sewaan jangka panjang daripada firma tenaga milik kerajaan Qatar untuk tiga kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) bagi tempoh selama 15 tahun mulai 2026.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, MISC berkata, unit tidak langsungnya, Polaris LNG Five Pte. Ltd. (Polaris 5), Polaris LNG Six Pte. Ltd. (Polaris 6) dan Polaris LNG Seven Pte. Ltd. (Polaris 7) menandatangani perjanjian sewaan berdasarkan waktu (TCP) dengan QatarEnergy.

 

Menurutnya, kapal-kapal itu akan dibina oleh Samsung Heavy Industries Co Ltd.

 

MISC bagaimanapun tidak menyatakan jumlah nilai kontrak sewaan tersebut namun menyifatkan tempoh sewaan kapal oleh QatarEnergy adalah satu tempoh yang kukuh selama 15 tahun.

 

"Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham yang diterbitkan dan berbayar serta pegangan saham yang besar dalam MISC dan juga tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham, penggearan dan aset bersih sesaham kumpulan untuk kewangan tahun berakhir 31 Disember 2024,” katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 10 tahun dengan SeaRiver Maritime

 

Polaris 5, Polaris 6 dan Polaris 7 adalah syarikat swasta yang dihadkan oleh saham dan aktiviti utama mereka adalah memiliki dan mengendalikan kapal LNG untuk pengangkutan LNG.

 

Sewaan ini tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham yang diterbitkan dan berbayar serta pegangan saham yang besar dalam MISC. 

 

"TCP juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material kepada pendapatan sesaham, penggearan dan aset bersih sesaham Kumpulan MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024," jelasnya.- DagangNews.com