MITI bincang dengan Western Digital mengenai operasi pasca PKP COVID-19 | DagangNews Skip to main content

MITI bincang dengan Western Digital mengenai operasi pasca PKP COVID-19

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

SHAH ALAM 29 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menjalankan sesi libat urus dengan dua syarikat milik Kumpulan Western Digital, juga pelabur dari Amerika Syarikat - WD Media Sdn Bhd dan SanDisk Storage Sdn Bhd – di Pulau Pinang semalam.

Kedua-dua syarikat ini adalah pengilang produk Elektrikal & Elektronik (E&E). Sesi libat urus dan turun padang ini bertujuan untuk membuat risikan industri dan memahami isu dan cabaran yang dihadapi oleh pihak pelabur berikutan pandemik COVID-19.

Hasil libat urus ini juga telah mendapati kedua-dua syarikat ini telah beroperasi pada kapasiti penuh sejak pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, berbanding pada awal tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun ini.

Inisiatif ini juga adalah salah satu usaha Kempen Kesedaran COVID-19 peringkat MITI yang dilancarkan baru-baru ini. Delegasi MITI yang diketuai Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali turut disertai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diwakili Ketua Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dan Pengerusi Kumpulan Western Digital, Datuk (Dr.) Syed Hussian AlJunid.

Menurut Datuk Lokman, lawatan turun padang ini dapat membantu MITI dan agensinya mendapatkan gambaran yang sebenar mengenai situasi yang dihadapi syarikat-syarikat dalam meneruskan operasi mereka sejak pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berperingkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sesi libat urus ini juga dijalankan bagi memahami impak usaha-usaha yang diperkenalkan Kerajaan seperti insentif cukai kepada pelabur di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi PENJANA yang membantu dan memudah cara operasi pihak pelabur di Malaysia.

"Risikan industri seperti ini adalah penting bagi memastikan MITI dapat memperkenalkan polisi-polisi yang menggalakkan para pelabur asing terutamanya dalam sektor E&E terus menjadikan Malaysia sebagai hab produksi kilang mereka di rantau Asia,” ujar beliau.
 

miti
LOKMAN HAKIM ALI (dua dari kanan menghadap kamera) dan Azman Mahmud bertukar-tukar pandangan dengan pengurusan kanan Western Digital di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.


Sejak 1973, Kumpulan Western Digital telah membuat pelaburan berjumlah RM16 bilion di Malaysia dan menjana lebih daripada 9,000 peluang pekerjaan, dimana 90 peratus tenaga kerja ini adalah rakyat tempatan.

Selain penjanaan peluang pekerjaan, pelaburan Kumpulan Western Digital juga turut membuka peluang perniagaan kepada 900 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia. Komitmen Kumpulan Western Digital ini mencerminkan keyakinan pelabur dari luar negara untuk terus mengembangkan operasi mereka di negara ini.

Dalam usaha untuk memampankan dan memulihkan semula ekonomi Malaysia, MITI sebagai Barisan Hadapan Ekonomi negara akan memastikan penambahbaikan ekosistem perniagaan di Malaysia bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Usaha ini penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk rakyat Malaysia selain membuka peluang perniagaan kepada PKS tempatan untuk membekalkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelaburpelabur asing di negara ini.

MITI dan agensi akan terus menjalankan sesi libat urus bersama pemain indusri sektor E&E yang merupakan antara sektor paling utama bagi pelaburan asing di Malaysia. Pada tahun 2019, sektor E&E menyumbang sebanyak 6.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan menghasilkan RM372.67 bilion dari segi nilai eksport.

Pada tahun yang sama, sektor ini telah mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM25.7 bilion atau 31 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan. - DagangNews.com

aaa