MITI lancarkan siasatan pengimportan jubin seramik | DagangNews Skip to main content

MITI lancarkan siasatan pengimportan jubin seramik

SHAH ALAM 14 Sept. -  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan siasatan rasmi mengenai pengimportan jubin lantai dan dinding seramik ke Malaysia yang menjejaskan industri tempatan.

Menurut MITI, pada 16 Julai 2020, kerajaan telah menerima satu petisyen daripada Federation of Malaysian Manufacturers-Malaysian Ceramic Industry Group mewakili pengeluar tempatan bagi memulakan siasatan perlindungan global ke atas pengimportan keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke dalam negara ini.

Katanya, pempetisyen mendakwa bahawa dari 2017 hingga 2019, pengimportan keluaran jubin lantai dan dinding seramik telah meningkat secara mutlak dan relatif kepada pengeluaran dalam negeri, sehingga mengakibatkan kemudaratan yang serius kepada industri dalam negeri di Malaysia yang mengeluarkan keluaran yang serupa.

"Kerajaan telah memutuskan bahawa terdapat cukup bukti kemudaratan yang serius akibat peningkatan import bagi memulakan suatu penyiasatan bagi penentuan langkah perlindungan mengenai keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke dalam Malaysia bermula pada 13 September 2020.

"Selaras dengan Akta Pelindung 2006 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

"Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka Kerajaan akan mengenakan duti pelindung sementara mengikut kadar yang ditetapkan bagi mengurangkan kesan kemudaratan yang serius terhadap industri dalam negeri,'' kata MITI dalam kenyataan akhbar di sini.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan.

Menurutnya, pihak berkepentingan yang lain boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut dengan memohon kepada MITI selewat-lewatnya pada 28 September 2020.

"Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini sebelum 13 Oktober 2020,'' katanya.

Permohonan bagi borang soal selidik dan sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi:

Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Aras 9, Menara MITI No. 7 ,
Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
MALAYSIA
No. Telefon : (603) 6208 4632/ 4660/ 4639/ 4647
No. Faksimil : (603) 6211 4429 E-mel : [email protected]


Menurut MITI,  sekiranya tiada respon atau maklumat tambahan diterima dalam 2 tempoh yang ditetapkan, pihak Kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada. - DagangNews.com