MKH Oil Palm meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities, Kenanga Investment Bank bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

MKH Oil Palm meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities, Kenanga Investment Bank bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Tan Sri Chen Kooi Chiew (tengah) bersama (dari kiri) Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting; Pengarah Urusan M&A Securities, Datuk Bill Tan; Pengarah Eksekutif MKH Oil Palm, Datuk Lee Khee Meng; Pengarah Liputan Korporat dan Institusi Kenanga Investment Bank, Datuk Kenny Yong Foo Ken di majlis pemeteraian perjanjian taja jamin.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - MKH Oil Palm (Kalimantan Timur) Berhad (MKHOP) telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd dan Kenanga Investment Bank Berhad bagi penyenaraianya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Syarikat perladangan kelapa sawit huluan itu akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada April tahun ini yang melibatkan terbitan awam 220 juta saham baharu, membentuk 21.5% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 1.02 bilion saham. 

 

Ia juga merangkumi tawaran penjualan 30.7 juta saham sedia ada atau 3% daripada modal saham yang diperbesarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, menurut satu kenyataan media hari ini.

 

Permohonan bagi 51.2 juta saham daripada 220 juta saham baharu akan dibuka kepada orang awam Malaysia menerusi undian, yang diagihkan sama rata kepada pelabur awam dan pelabur awam Bumiputera. 

 

Sementara itu, baki 168.8 juta saham baharu diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Selaras dengan perjanjian taja jamin, M&A Securities dan Kenanga Investment Bank akan bersama-sama menaja jamin 51.2 juta saham baharu yang disediakan untuk peruntukan awam.

 

Pada masa ini, MKHOP merupakan anak syarikat MKH Berhad sepenuhnya dan setelah pelaksanaan IPO selesai, ia akan menjadi 63.07% anak syarikat kumpulan itu.

 

MKHOP terlibat terutamanya dalam penanaman kelapa sawit, termasuk pengeluaran dan penjualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) dan berpangkalan di Kalimantan Timur, Indonesia dengan dua ladang berkeluasan 18,205 hektar, sebuah kilang kelapa sawit dan jeti.

 

Di dalam ladang tersebut, majoriti kelapa sawit berada di peringkat matang, mewakili tahun pengeluaran puncak antara usia 10 hingga 16 tahun. Terletak di sepanjang khatulistiwa, ladang mendapat manfaat daripada hujan dan cahaya matahari yang mencukupi, mewujudkan iklim optimum untuk penanaman kelapa sawit. 

 

Ladang-ladang tersebut terletak secara strategik di kawasan utama, berhampiran dengan ibu kota wilayah Kalimantan Timur, Samarinda; pusat kewangan Kalimantan, Balikpapan dan ibu negara baharu Indonesia, iaitu Nusantara.

 

 

Peta lokasi ladang MKH di Kalimantan [Sumber: Laporan Tahunan MKH 2023]
Peta lokasi ladang MKH di Kalimantan [Sumber: Laporan Tahunan MKH 2023]

 

 

Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif MKHOP, Tan Sri Chen Kooi Chiew berkata, dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan simpanan tanah ladang dengan memperoleh tanah yang terletak berdekatan dengan ladang sedia ada. 

 

Beliau menambah bahawa kumpulan itu akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan keupayaan pemprosesan dan penawaran produk dengan mesin dan peralatan baharu.

 

“Kami di kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pasaran minyak makan global yang berkembang dan peningkatan penggunaan MSM di Indonesia. Tambahan pula, kumpulan akan mendapat keuntungan daripada transformasi ekonomi Kalimantan Timur, dirangsang oleh pembangunan ibu kota baharu Indonesia,” katanya.

 

M&A Securities merupakan penasihat, penaja jamin urusan, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama bagi pelaksanaan IPO, manakala Kenanga Investment Bank adalah penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama. - DagangNews.com