MMC : Pelabur disaran terima tawaran Syed Mokhtar | DagangNews Skip to main content

MMC : Pelabur disaran terima tawaran Syed Mokhtar

Saham MMC pernah mencecah paras terendah 43 sen pada Mac tahun lalu. - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Tawaran harga RM2 sesaham bagi menjadikan MMC Corporation Bhd. sebagai syarikat persendirian dilihat adil dan pelabur disyorkan supaya menerima tawaran berkenaan.

 

Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri, berkata, berdasarkan perkiraan mereka, tawaran harga itu adalah 54% lebih tinggi daripada nilai pasaran semasa MMC. 

 

"Kami mengesyorkan agar para pelabur menerima tawaran tersebut kerana kami menganggapnya berada dalam julat penilaian yang sesuai untuk MMC," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut beliau, harga saham MMC tidak pernah pulih sejak mengalami kemerosotan pada 2017. Ketika era kegemilangannya, saham syarikat pernah diniagakan di atas paras RM2, tetapi ia belum mencapai tahap itu lagi. 

 

Saham MMC pernah mencecah paras terendah 43 sen pada Mac tahun lalu.

 

Ketika memulakan dagangan pagi ini, saham MMC melambung 30% lebih tinggi kepada RM1.69, tertinggi sejak Mac 2018 dengan nilai pasaran RM5.15 bilion susulan cadangan tersebut.

 

Semalam, Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor mengemukakan tawaran untuk menjadikan MMC syarikat persendirian dengan kaedah pengurangan modal terpilih (SCR) bernilai RM2.94 bilion atau RM2 sesaham bagi setiap saham biasa dan proses pembayaran balik.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, MMC menunjukkan surat tawaran daripada Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd (STJSB), yang menguasai 51.76 peratus kepentingan atau 1.58 bilion saham dalam MMC.

 

Syed Mokhtar memegang keseluruhan kepentingan ekuiti dalam STJSB menerusi Indra Cita Sdn Bhd. 

 

 

Baca : Syed Mokhtar jadikan MMC syarikat persendirian, bayar RM2.94 bilion

 

 

MIDF Research bagaimanapun mengekalkan pandangan bahawa MMC dinilai terlalu rendah dan pilihan 'tidak munasabah' bagi saham berkaitan pemulihan ekonomi.

 

"Kami berpendapat, saham MMC sudah matang untuk dinilai semula memandangkan kumpulannya terbukti berdaya tahan di tengah-tengah pandemik COVID-19," katanya. 

 

Ummar berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan MMC dilihat di bawah nilai, antaranya, perolehan kontrak syarikat, yang bertahan sehingga suku pertama 2023 selepas berakhir projek pembentungan Langat. 

 

Bagaimanapun, ujarnya, MMC-Gamuda yang dijangka memperoleh projek MRT3, akan menjadi pemangkin penilaian semula ke atas kumpulan. 

 

Firma itu menyemak semula unjuran harga sasaran kepada RM2 berbanding RM1.40 sejajar dengan langkah menjadikan MMC syarikat persendirian.

 

Ia juga mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MMC kerana tawaran STJ itu dilihat menarik

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, tawaran itu adalah peluang yang baik kepada pemegang saham untuk keluar daripada kemelut yang dihadapi MMC ketika ini. 

 

Katanya, terdapat pelbagai masalah membelenggu MMC antaranya, insiden Terusan Suez, pelaksanaan semula sekatan pergerakan di beberapa negara termasuk Malaysia dan kos pengurusan dan operasi yang tinggi.

 

"Selain itu, pendapatan daripada syarikat bersekutu yang rendah (Malakoff) hinggalah kepada segmen kejuruteraan yang masih tidak menentu (ekoran berdepan kesukaran mendapatkan kontrak yang besar).

 

"Jadi, adalah lebih baik pemegang saham menerima tawaran ini," jelasnya.

 

Dengan tawaran harga RM2, firma itu menaikkan penilaian MMC kepada 'outperform' berbanding 'perform' sebelum ini dengan harga sasaran RM1.05 sesaham. - DagangNews.com