MMHE catat kerugian bersih RM105.2 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

MMHE catat kerugian bersih RM105.2 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) mencatat kerugian bersih RM105.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding keuntungan bersih RM15.95 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mencatat kerugian sesaham 6.6 sen pada 3QFY23 berbanding pendapatan sesaham 1 sen dalam suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY22).

 

Bagaimanapun, pendapatan MMHE melonjak 56% kepada RM638 juta pada suku dalam tinjauan daripada RM409.2 juta tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, MMHE mengalami kerugian bersih RM490.37 juta berbanding keuntungan bersih RM40.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat hampir dua kali ganda kepada RM2.19 bilion daripada RM1.23 bilion sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MMHE berkata segmen kejuruteraan beratnya berdepan kerugian operasi sebanyak RM506.5 juta, terutamanya disebabkan oleh peruntukan kos tambahan berikutan penjadualan semula dan impak kenaikan harga ke atas projek yang sedang dijalankan dalam tempoh semasa.

 

“Jadual yang disemak telah menyebabkan pelanjutan tarikh penghantaran projek yang sedang berjalan, yang diperlukan untuk menampung kerja-kerja darat yang tertangguh,” katanya.

 

Bagi segmen marin pula, keuntungan operasi pada 3QFY23 turun kepada RM20.4 juta daripada RM39.6 juta sebelumnya, di mana keuntungan pada suku sebelumnya lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh pemulihan hutang ragu.

 

Kumpulan itu berkata jumlah aset dan jumlah ekuitinya setakat akhir 3QFY23 masing-masing berjumlah RM3.4 bilion dan RM1.2 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pandai Othman berkata bekalan minyak yang lebih ketat dan harga lebih tinggi – ekoran konflik di Timur Tengah dan tindakan OPEC+ terus memotong bekalan minyak – ketika permintaan global semakin meningkat berkemungkinan meningkatkan perbelanjaan modal melebihi tahap sebelum pandemik.

 

 

Pandai Othman
Pandai Othman

 

 

Dari sudut positif pula, Pandai berkata peningkatan kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan untuk MMHE dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.

 

"Kami akan terus meneroka peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa dengan peningkatan penekanan terhadap penyahkarbonan dan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Kami juga sedang meneroka cara untuk menambah baik strategi kontrak kami dengan pelanggan melalui konsep pakatan atau asas kos-tambah, jika boleh, bagi mengurangkan risiko inflasi global terhadap projek pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan yang sama.  - DagangNews.com