MMHE, HD Hyundai Marine Solution meterai MoU bagi cepatkan usaha pengurangan karbon maritim | DagangNews Skip to main content

MMHE, HD Hyundai Marine Solution meterai MoU bagi cepatkan usaha pengurangan karbon maritim

Gambar HD Hyundai Marine Solution
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan HD Hyundai Marine Solution Co., Ltd (HD HMS) untuk mewujudkan kerjasama yang memberi tumpuan kepada pemasaran dan penyampaian penyelesaian retrofit hijau.

 

Kerjasama yang ditandatangani pada 26 Julai 2024 antara anak syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dan HD HMS itu juga bagi meningkatkan kecekapan tenaga kapal dan mengurangkan impak alam sekitar.

 

MHB berkata, pihaknya membuat pemakluman itu kepada Bursa Malaysia hari ini setelah memperoleh persetujuan daripada HD MS mengenai MoU ini pada 2September 2024.

 

"Terma-terma utama MoU adalah MMHE akan menjadi rakan strategik HD HMS untuk pemasangan penyelesaian retrofit hijau dalam wilayah serantau di Asia Selatan.

 

"MoU akan kekal sah dan berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh pelaksanaan dengan pilihan untuk melanjutkan selama dua tahun lagi tertakluk kepada persetujuan bertulis bersama kedua-dua pihak," katanya dalam pemakluman tersebut.

 

"Retrofit" boleh diterjemahkan sebagai "penambahbaikan" atau "pengubahsuaian" yang merujuk kepada proses menambah ciri-ciri baru atau mengemas kini sistem atau struktur sedia ada untuk meningkatkan prestasi atau memenuhi piawaian baharu.

 

mmhe
Gambar MMHE

 

Tambah MHB, risiko yang terlibat dalam MoU itu dijangka minimum dengan MMHE telah mempertimbangkan segala risikoo tersebut dan membangunkan pelan mitigasi untuk memastikan pelaksanaan MoU yang berjaya.

 

Katanya, MoU ini dijangka tidak mempunyai kesan material terhadap pendapatan setiap saham, aset bersih setiap saham, nisbah hutang, modal saham, dan struktur pemegangan saham Syarikat untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.

 

"Lembaga Pengarah, setelah mempertimbangkan semua aspek yang relevan mengenai MoU, berpendapat bahawa memasuki MoU adalah untuk kepentingan terbaik Syarikat," jelasnya.

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif MMHE, Mohd Nazir Mohd No berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan HD HMS, pemimpin dalam penyelesaian hijau maritim. 

 

Katanya, kerjasama ini selari dengan strategi MMHE untuk mempelbagaikan portfolio dengan menyeimbangkan peluang tenaga tradisional dan bersih.

 

“Kepakaran MMHE selama lima dekad dalam pembaikan kapal, retrofit dan penukaran digabungkan dengan teknologi hijau inovatif HD HMS, akan menyumbang secara signifikan kepada usaha pengurangan karbon pelanggan kami, serta memacu industri maritim ke arah amalan yang lebih mampan. 

 

"Kami kekal komited untuk memajukan inovasi, mengukuhkan peranan kami sebagai peneraju pasaran dalam penyelesaian maritim yang mampan,” tambah Mohd Nazir. - DagangNews.com