PUTRAJAYA 16 Dis - Setiap model baharu kenderaan motor wajib melalui prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum layak dipasarkan di negara ini dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dasar berkaitan prosedur VTA yang dikuatkuasakan itu adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66(1)(pp), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pelaksanaan prosedur VTA ini adalah untuk memastikan ciri-ciri pembinaan, penggunaan dan spesifikasi kenderaan motor yang terlibat telah mematuhi ketetapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ia juga bagi memastikan kaedahnya termasuklah mempunyai persijilan yang sah yang melibatkan pematuhan standard mandatori yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bahagian Kejuruteraan Automotif jabatan, katanya, adalah pihak berkuasa terhadap kelulusan jenis yang bertanggungjawab untuk menjalankan proses penilaian, pemeriksaan dan pengesahan terhadap spesifikasi teknikal pada mana-mana model baharu kenderaan motor.
Menurut JPJ, Malaysia adalah antara 63 buah negara penjanji kepada perjanjian multilateral iaitu Perjanjian 1958 di bawah rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29).
Di bawah perjanjian itu, peraturan teknikal kenderaan dikenali sebagai Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibangunkan oleh kumpulan pakar antarabangsa untuk diharmonisasikan dalam kalangan negara penjanji menerusi kerangka prosedur VTA masing-masing.
JPJ berkata ia telah meletakkan pematuhan kepada Peraturan PBB tersebut sebagai suatu penanda aras utama di bawah prosedur VTA Malaysia.
“Ia khusus untuk mengawal selia standard keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar yang berkaitan dengan sesebuah kenderaan motor supaya seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
"Pengawalseliaan berterusan terhadap spesifikasi teknikal kenderaan ini boleh mengurangkan keraguan dan kegusaran dalam kalangan pengguna berkaitan tahap keselamatan sesebuah kenderaan motor," kata JPJ. - DagangNews.com