KUALA LUMPUR 16 Feb - Syarikat Bioteknologi, Moderna, Inc. merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka di Asia dengan penambahan empat anak syarikat baharu termasuk di Malaysia, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
Pengumuman antara lain bertujuan mengukuhkan jenama Moderna di Asia termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia selain menunjukkan komitmen berterusan syarikat itu terhadap rantau Asia Pasifik dalam strategi jangka panjang mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata, cadangan penubuhan anak syarikat itu mencerminkan keyakinan terhadap jangkaan pertumbuhan semasa dalam industri farmaseutikal dan kesihatan di Malaysia selain komitmen kerajaan terhadap pembangunan biotektonologi.
“Malaysia semakin berkembang dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi, kami berharap dapat mencari peluang untuk bekerjasama dalam usaha meluaskan jejak kami di rantau Asia Pasifik.
"Saya teruja untuk membina pasukan-pasukan bagi memenuhi potensi serantau dan platform mRNA," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syarikat itu terus mengemas kini strategi COVID-19 untuk menangani varian kebimbangan seperti Omicron dan mempelopori vaksin dan terapeutik baharu untuk pelbagai penyakit dan kondisi.
Moderna sedang membangunkan ubat-ubatan mRNA yang berpotensi mencegah dan merawat penyakit dengan keperluan ketara yang belum dipenuhi, merentasi penyakit berjangkit, imuno-onkologi, penyakit yang jarang jumpa dan sangat jarang jumpa, serta penyakit auto-imun.
Buat masa sekarang, Moderna berada di 12 pasaran global manakala vaksin yang dikeluarkan mereka untuk COVID-19 berada di lebih 70 pasaran merangkumi Kanada, Jepun, Eropah dan United Kingdom.
Pada Ogos 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin COVID-19 Moderna untuk kegunaan kecemasan. - DagangNews.com