MoF nasihatkan KWSP benar lebih ramai keluarkan Akaun 1 | DagangNews Skip to main content

MoF nasihatkan KWSP benar lebih ramai keluarkan Akaun 1

KWSP

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihati agar memperluas pengeluaran caruman Akaun 1 kepada rakyat Malaysia.

 

Cadangan memperluas itu adalah dengan membenarkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat pengeluarkan tersebut.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertimbangan itu dinilai selepas mendengar keluhan dan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

 

"Kita beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk keluarkan Akaun 1 secara bersasar. Apa yang dimaksudkan secara bersasar? Mereka yang hilang pekerjaan dan terkesan dengan wabak COVID-19.

 

"Saya sudah berbincang dengan KWSP hari ini (semalam), mereka telah berjanji untuk umumkan cara pengeluaran dan siapakah yang layak.

 

"Nasihat saya kepada pihak KWSP untuk memperluaskannya. Semasa saya mengumumkan (dalam Belanjawan 2021), lebih kurang 600,000 orang akan menikmatinya, tetapi selepas saya mendengar keluhan rakyat, saya rasa kita harus meningkatkan lagi fleksibiliti supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengeluarkannya," katanya dalam Wawancara Khas, Buletin Utama TV3 malam tadi.

 

Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Wawancara Khas, Buletin Utama TV3 malam tadi.
Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Wawancara Khas, Buletin Utama TV3 malam tadi.

 

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan beliau, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengeluaran KWSP Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah hingga RM6,000 selama 12 bulan.

 

Baca: BELANJAWAN 2021 : Pengeluaran Akaun 1 KWSP dibenarkan RM500 sebulan

 

Pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan dan dijangka mengurangkan beban kira-kira 600,000 ahli yang terjejas.

 

Jelas beliau, selepas mengambil kira kedua-dua inisiatif daripada i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, keseluruhan pengeluaran tunai berjumlah RM12,000.

 

Unjuran keseluruhan bayaran bagi Akaun 1 melibatkan RM4 bilion dan boleh dimohon oleh ahli yang layak mulai Januari 2021.

 

Selain pengumuman berkaitan KWSP, Belanjawan 2021 turut menarik perhatian para nelayan tempatan apabila jumlah elaun sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM300 sebulan bermula 2021.

 

Jumlah itu lebih tinggi berbanding hanya RM250 pada sebelumnya. Lebih 40,000 nelayan akan menikmati bantuan berkenaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM151 juta.

 

Bagi peneroka FELDA pula, kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu. - DagangNews.com