Mohd Rauf dilantik Pengarah Urusan Nokia di 3 buah negara termasuk Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mohd Rauf dilantik Pengarah Urusan Nokia di 3 buah negara termasuk Malaysia

Mohd Rauf Nasir
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Nokia telah melantik Datuk Mohd Rauf Nasir sebagai Pengarah Urusannya di tiga buah negara iaitu Malaysia, Maldives dan Sri Lanka berkuat kuasa 1 Ogos 2021. 

 

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Mohd Rauf bakal menyelia perniagaan dan operasi Nokia di ketiga-tiga negara berkenaan.

 

Menurut Nokia, beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) di Malaysia. 

 

“Sebelum menyertai Nokia, Mohd Rauf merupakan Presiden Negara, Motorola Solutions Malaysia, di mana beliau membantu mengembangkan perniagaan komunikasi penting dalam bidang keselamatan awam, minyak dan gas, pengangkutan, dan perusahaan syarikat berkenaan.

 

“Sebelum itu, Mohd Rauf menjawat pelbagai jawatan kanan di IBM, menguruskan pelbagai sektor yang merangkumi sektor awam, penjagaan kesihatan, dan pertahanan.

 

“Peranan terakhir beliau adalah di IBM sebagai Pengurus Besar Sektor Komunikasi, menumpukan kepada segmen penting seperti telekomunikasi, utiliti dan media,” jelas Nokia dalam satu kenyataan.

 

Tambah syarikat teknologi itu, pengalaman Mohd Rauf yang luas di Malaysia penting untuk Nokia mengembangkan perniagaannya di rantau ini. 

 

Peranan beliau terutamanya penting untuk memimpin penyampaian inovasi dan penyelesaian utama Nokia di rantau ini dari portfolio unik syarikat, termasuk rangkaian tanpa wayar peribadi berkelajuan tinggi dan 5G.

 

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Mohd Rauf berkata, Malaysia merupakan pasaran utama buat Nokia dan mereka akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri di dalam negara untuk memajukan transformasi digital holistik. 

 

“ Sebagai peneraju teknologi global, Nokia bersedia untuk memberi sumbangan hebat bagi kemajuan teknologi negara seperti 5G.

 

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan pengendali kami dan pelanggan perusahaan serta kerajaan untuk memperkukuh ekosistem tempatan, terutamanya dalam memartabatkan masyarakat dan ekonomi Malaysia untuk mempercepatkan peralihan ke arah Industri 4.0 (IR4.0),” katanya. - DagangNews.com