Momentum jualan Lee Swee Kiat dijangka kekal didorong peningkatan pembelian semasa perayaan Tahun Baharu Cina- RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Momentum jualan Lee Swee Kiat dijangka kekal didorong peningkatan pembelian semasa perayaan Tahun Baharu Cina- RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - RHB Investment mengunjurkan momentum peningkatan jualan Lee Swee Kiat Group Bhd yang dicatatkan sejak pertengahan November 2023 dapat dikekalkan bagi tempoh semasa disokong peningkatan pembelian pengguna pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Katanya, kumpulan itu juga merancang untuk meningkatkan penyertaan dalam pameran barangan rumah pada tahun ini dan pasaran bagi pengguna Melayu kembali mencatatkan peningkatan (melalui model sewa Cuckoo Napure, sasaran jualan sebanyak 15,000 unit). 

 

"Selain itu, pasaran hartanah yang rancak di Malaysia dijangka meningkatkan lagi jualan tilam, menyokong pertumbuhan bahagian pasaran domestiknya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu membuat anjakan strategik pada 2011 daripada pengedaran agensi kepada jualan langsung perniagaan kepada pelanggan (B2C).

 

Katanya, langkah itu bukan sahaja membolehkan mereka meluas dan mengekalkan margin, tetapi juga memupuk hubungan yang lebih baik dengan pelanggan.

 

Sejak 2014, perniagaan B2C mereka mendapat momentum, dan kini menyumbang 61% daripada jumlah jualan.

 

RHB Investment berkata, pemulihan dalam jualan eksport perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan segmen "lain-lain" adalah penting untuk kilang busa lateksnya mencapai kadar penggunaan 65% yang diperlukan untuk pulang modal.

 

Katanya, terdapat penurunan dalam eksport sejak FY22 disebabkan kos pengangkutan yang tinggi dan kehilangan pelanggan eksport utama.

 

Kadar penggunaan kilang telah meningkat daripada 45% pada suku kedua 2023 kepada 60% pada suku ketiga tahun sama.

 

"Kumpulan itu dijangka pulang modal pada suku keempat 2023, menyasarkan untuk mencapai kadar penggunaan 80% menjelang akhir 2024, dengan pelanggan eksport dari Korea dan Eropah sambil menumpukan pada permintaan yang semakin meningkat untuk produk hijau (untuk pertimbangan ESG).

 

"Syarikat itu juga sedang menggiatkan usaha pemasaran luar negara bagi mengekalkan dan mengembangkan jualan eksport," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga wajar (FV) RM1.42 sesaham.- DagangNews.com