Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Pasaran ekuiti tempatan terus menunjukkan trend peningkatan memasuki hari kedua pada minggu ini selepas menerima lonjakan daripada sentimen pelaburan global.
Walaupun Wall Street ditutup semalam, namun keyakinan terhadap ekuiti Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi dengan pasaran serantau dijangka didagangkan lebih tinggi hari ini.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 3.97 mata kepada 1,612.04 daripada paras yang ditutup semalam, 1,608.07.
Antara saham yang melonjak awal termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Genetec Technology Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad, Muda Holdings Berhad, EP Manufacturing Berhad, Ark Resources Holdings Berhad dan Malaysia Smelting Corporation Berhad.
Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI ketika ini dalam tempoh lonjakan pasca sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada hujung minggu lalu.
“Trend meningkat semalam lebih kepada pembelian saham yang meluas, oleh itu kami percaya mudah tunai (liquidity) akan terus memainkan peranannya untuk menyokong FBM KLCI hari ini.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan bakal mencecah paras 1,615 hari ini yang telah membentuk paras rintangan kukuh semalam.
“Sementara itu, harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) terus kekal kukuh dengan Brent sekitar AS$64 setong sementara MSM berlegar untuk menghampiri RM4,000 setiap tan metrik,” ujar firma penyelidik itu dalam nota kajiannya,
Di peringkat global, Wall Street ditutup semalam susulan Hari Presiden.
Namun, niaga hadapan tiga indeks utama didagangkan pada paras yang positif dengan niaga hadapan Dow Jones Industrial Average kini menghampiri 180 mata lebih tinggi. - DagangNews.com