Moratorium menyeluruh masih bukan langkah terbaik - BNM | DagangNews Skip to main content

Moratorium menyeluruh masih bukan langkah terbaik - BNM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - "Adalah satu tanggapan yang salah jika menganggap pemberian moratorium semata-mata dapat membantu ekonomi," tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus. 

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu moratorium dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku keempat 2020 hari ini secara maya. 

 

Kerajaan pada April lalu melaksanakan pemberian moratorium menyeluruh selama 6 bulan sehingga 30 September lalu bagi mengurangkan beban kewangan rakyat akibat pandemik COVID-19.

 

Nor Shamsiah mengulangi semula pendiriannya itu setelah menjelaskan perkara berkenaan pada November lalu bahawa langkah pemberian moratorium secara menyeluruh kepada semua golongan bukanlah sesuatu yang baik kepada ekonomi negara. 

 

"BNM sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan tidak kira individu mahupun perniagaan, cuma peminjam perlu menghubungi bank masing-masing bagi menyelesaikan masalah mereka," katanya. 

 

Beliau memberitahu, sebanyak 1.4 juta peminjam setakat ini sudah memohon bantuan bayaran bersasar dengan 95% kadar kelulusan. 

 

Daripada jumlah itu, 45% memilih untuk mengurangkan bayaran bulanan mereka berbanding memohon moratorium.

 

"Ini turut melibatkan isi rumah dan peminjam dalam kategori B40 sekali gus menunjukkan yang mereka mempunyai pilihan untuk menguruskan hutang mengikut kemampuan masing-masing. 

 

"Mereka tidak meminta moratorium sebaliknya, apa yang mereka mahukan ialah satu bentuk bantuan yang boleh memenuhi kedudukan kewangan mereka," katanya. 

 

Dalam tempoh ini juga, menurut beliau, aduan yang diterima BNM juga adalah rendah sekitar 0.2% sahaja daripada keseluruhan peminjam yang memohon bantuan bayaran.  

 

"Malah, BNM juga mahu menekankan sekali lagi, kebanyakan peminjam sudah mula membayar pinjaman sebelum moratorium automatik berakhir tahun lalu," jelasnya. 

 

Nor Shamsiah berkata, ada beberapa sebab mengapa tindakan memberi moratorium ini dilihat bukan langkah terbaik kepada rakyat kerana ia akan menyukarkan individu dan perniagaan memohon pinjaman baharu dan mengundang lebih banyak risiko. 

 

Dalam masa sama, katanya, keuntungan bank juga penting bagi berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyimpan di bank atau juga pemegang saham secara tidak langsung melalui dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji. 

 

"Dengan melihat kepada konteks ini, bantuan bersasar dilihat sebagai langkah yang lebih baik kerana ia memberi pilihan kepada peminjam untuk membuat keputusan mengenai kedudukan kewangan mereka," katanya. 

 

Data BNM menunjukkan agihan pembiayaan perniagaan pada suku keempat 2020 berjumlah RM206.2 bilion berbanding RM182.4 bilion pada suku sebelumnya manakala bayaran semula berjumlah RM207.1 bilion berbanding RM185.3 bilion. 

 

Untuk segmen isi rumah pula, ia melibatkan agihan pembiayaan sebanyak RM99.5 bilion dan bayaran semula berjumlah RM94.6 bilion pada suku berkenaan. - DagangNews.com