MOSTI guna khidmat PTK2Dron beri bantuan di kawasan banjir | DagangNews Skip to main content

MOSTI guna khidmat PTK2Dron beri bantuan di kawasan banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Teknologi Park Malaysia (TPM) akan menggunakan khidmat Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron) bagi membantu agensi penyelamat di kawasan banjir.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkhidmatan dron akan memberi akses visual dari udara untuk membantu agensi berkaitan menilai keadaan semasa kawasan terlibat banjir. 

 

Beliau berkata, menerusi kaedah itu, pihak terbabit boleh menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada mangsa banjir yang terkandas dan tiada akses kepada rangkaian komunikasi.

 

"Dron berteknologi tinggi ini juga dapat melakukan penghantaran bekalan asas khususnya ubat dan makanan, terutamanya dikawasan yang sukar dicapai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi menjayakan perkhidmatan itu,TPM bekerjasama dengan syarikat dron VStream, Alphaswift Industries,Aerodyne Group, Meraque Services dan Geo Precision Tech dengan sokongan Persatuan Aktivis Dron Tanpa Pemandu Malaysia (MUDAS).

 

Melalui PTK2Dron, hampir 20 dron bersedia untuk diaktifkan untuk tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting dengan kemampuan muatan sehingga 10 kilogram untuk setiap penghantaran jika mendapat kelulusan pihak berkuasa.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A Mohamed berkata, pihaknya diminta oleh Kerajaan Selangor untuk memberi bantuan banjir di negeri itu dengan menggunakan dron.

 

Beliau berkata, kami menggunakan dron untuk mendapatkan maklumat penting seperti arah aliran air, mengesan mangsa yang masih terperangkap serta kaedah terbaik bagi pelaksanaan operasi menyelamat di beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir. 

 

"Operasi ini termasuk mengenal pasti punca air banjir lambat surut di beberapa kawasan yang disebabkan oleh saliran yang terhalang," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar berkata, selaku agensi yang dilantik menyelaras utama, pihaknya ingin memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam kerja-kerja menyelamat dan memberi bantuan kecemasa menggunakan teknologi dron. 

 

"Melalui PTK2Dron, kami menjadi pemudah cara diantara pengendali dan penyedia perkhidmatan dron dengan pihak berkuasa dalam operasi menyelamat," katanya. - DagangNews.com