MOSTI lancar hala tuju eko sistem syarikat permulaan (SUPER) 2021-2030 | DagangNews Skip to main content

MOSTI lancar hala tuju eko sistem syarikat permulaan (SUPER) 2021-2030

 Dato' Sri  Dr Adham Baba menerima plak daripada Rafiza Ghazali, sebagai simbolik pelancaran SUPER di Kuala Lumpur, 18 November 2021.

 

KUALA LUMPUR 18 Nov  – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menetapkan sasaran untuk membina ekosistem syarikat permulaan (start-up) yang kondusif dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) 2021-2030 dan platform MYStartup.

 

Dalam kenyataan di sini MOSTI berkata, SUPER adalah pelan untuk membangunkan ekosistem syarikat permulaan negara yang dinamik dan sejajar dengan Wawasan 2030. MYStartup pula adalah portal digital sumber maklumat yang menyediakan perkhidmatan pemudah cara menyeluruh untuk rangkaian ekosistem syarikat permulaan.

 

SUPER dirangka untuk meningkatkan keluaran dalam negara kasar negara. Selain itu, menyumbang kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta meluaskan pelaburan teknologi teras menjelang 2030.

 

Pembangunan SUPER telah mengambil kira maklum balas daripada lebih 300 pihak berkepentingan ekosistem start-up.

 

SUPER adalah untuk semua Keluarga Malaysia, termasuk kerajaan, pelabur serta innovators untuk mencapai matlamat utama meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 ekosistem start-up utama global.

 

Platform MYStartup pula adalah portal digital sumber maklumat kebangsaan bertujuan untuk membantu pemain ekosistem mengemudi ekosistem start-up, memacu inovasi tempatan, serta bantuan dan bimbingan berterusan dalam mewujudkan start-up yang mempunyai nilai pelaburan bertaraf dunia.

 

MYStartup memainkan peranan penting dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi melalui STI.

 

Menteri MOSTI, Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, MOSTI membuka lebih banyak pintu dan meluaskan rangkaian untuk pemulihan ekonomi negara yang dinamik dan pesat pasca COVID-19. SUPER bertindak sebagai matlamat utama bagi semua dasar dan panduan negara lain yang berkaitan dengan startup.

 

 

adham baba
Dato’ Sri Dr. Adham Baba

 

 

``Pelan ini selari dengan DSTIN 2021-2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Dasar 4IR Negara,'' kata beliau pada majlis pelancaran Ekosistem Syarikat Permulaan Malaysia (SUPER) 2021-2030 dan platform digital MYSTARTUP di sini hari ini. Turut hadir CEO Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), Rafiza Ghazali.

 

“Di peringkat ekosistem, MYStartup menyatukan pelbagai pemain industri dan mewujudkan kerjasama supaya tidak bekerja secara silo. Melalui platform nasional ini, kolaborasi berimpak tinggi akan dipergiatkan bersama-sama perkhidmatan pemberian sokongan dan bimbingan berterusan dalam mewujudkan start-up yang boleh berkembang”, tambah beliau lagi.

 

Misi MOSTI adalah untuk mempersiap siagakan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengasas dan inovator start-up menubuhkan ibu pejabat perniagaan mereka.

 

MYStartup adalah satu daripada 16 intervensi yang dikenal pasti dibawah lima pemacu ekonomi dalam SUPER. Menurut pengumuman Bajet 2022 pada bulan lepas, RM20 juta telah diperuntukkan kepada Cradle.

 

“Cradle, agensi di bawah MOSTI, telah diberi mandat sebagai focal point yang menguruskan ekosistem pembangunan start-up daripada fasa permulaan sehingga pertumbuhan untuk meningkatkan daya saing start-up tempatan di peringkat antarabangsa.

 

''SUPER akan mendorong industri start-up dengan mewujudkan 5,000 start-up dan memberi sasaran bahawa akan terdapat 5 syarikat berstatus unicorn menjelang 2025,” tambah Dr. Adham.

 

cradle
Rafiza Ghazali

 


Melalui platform MYStartup, MOSTI akan meningkatkan kolaborasi tempatan dan antarabangsa serta menggabungkan semua pemain ekosistem untuk bekerjasama mengukuhkan rangkaian ini.

 

Platform ini bertujuan untuk membantu semua pemain ekosistem start-up serta membangun start-up tempatan menjadi pemain global. MYStartup akan memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui STI.

 

Portal MYStartup dijangka akan memanfaatkan lebih daripada 1,000 pemegang taruh ekosistem startup dalam tahun pertama menerusi inisiatif dan program yang akan dikongsi di platform ini seperti pembiayaan, program Bootcamp, program Accelerator, Hackathon, bimbingan dan kursus latihan.

 

Para start-up, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem digalakkan mendaftar pada platform MYStartup di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber mengenai ekosistem startup Malaysia. - DagangNews.com