MOTAC teruskan pemberian dana GSPSB | DagangNews Skip to main content

MOTAC teruskan pemberian dana GSPSB

Nancy Shukri

Nancy Shukri.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan meneruskan semula pemberian Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya (GSPSB) yang tertangguh pada tahun lalu.

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia adalah sebagai langkah pemulihan industri yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19.

 

Katanya, Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan penyambungan semula peruntukan berkenaan setelah ditangguhkan pada tahun lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

 

"Penganjuran acara dan program di bawah dana GSPSB mesti diadakan di dalam negara, dengan memillki elemen tarikan penyertaan dari negeri-negeri di seluruh Malaysia.

 

"Selain menjana pergerakan pelancongan domestik dan juga antarabangsa apabila pintu sempadan dibuka kelak, ia juga perlu merangsang serta memberi faedah kepada industri pelancongan secara keseluruhan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

GSPSB yang merupakan peruntukan one-off dibawah seliaan MOTAC, mula digunakan bermula Februari 2020 dengan baki peruntukan semasa sebanyak RM24 juta, daripada jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM30 juta.

 

Ia bertujuan menyemarakkan dan mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya agar terus berdaya saing melalui pemberian sokongan dan bantuan insentif kepada pihak swasta serta persatuan bukan kerajaan (NGO) penggiat industri bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi.

 

Penggiat industri yang layak memohon GSPSB termasuklah syarikat dan organisasi swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan negeri, anak syarikat di bawah kerajaan negeri dan NGO tempatan.

 

Nilai yang ditetapkan bagi penganjuran sesebuah acara atau program di bawah GSPSB adalah berjumlah antara RM20,000 sehingga RM500,000.

 

GSPSB turut ditetapkan pada kadar maksimum 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar keseluruhan acara dan program atau mengikut siling maksimum RM500,000.

 

"Walau bagaimanapun, pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini dari semasa ke semasa," tambah beliau lagi. - DagangNews.com