SEREMBAN 25 Feb - Malaysia dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah Indonesia, bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata Jemaah Menteri sudah memberikan persetujuan untuk meneruskan MoU membabitkan PDI berkenaan dalam mesyuarat yang diadakan, kelmarin.
Beliau berkata, tarikh perjanjian dimeterai akan ditentukan oleh kerajaan Indonesia dalam masa terdekat.
"Sebenarnya kita jangka MoU itu ditandatangani pada awal Februari tetapi terpaksa tangguh kerana keadaan yang tidak sesuai.
'Saya percaya satu tarikh akan ditetapkan oleh kerajaan Indonesia bagi menandatangani MoU berkenaan, bulan depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Dalam Sektor Perkhidmatan Restoran di sini, hari ini.
Terdahulu dilaporkan, rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017, masih gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat dengan MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara pada 8 Februari ditangguhkan.
Mengenai pendirian Malaysia terhadap pelbagai kemudahan yang bakal diterima pembantu rumah Indonesia selepas MoU itu nanti, Saravanan berkata, kemudahan yang sama diterima bukan sahaja bagi pekerja tempatan malah pekerja asing.
"Mereka (pekerja asing) akan menikmati semua kemudahan sama rata dengan pekerja tempatan. Kita (kerajaan) tidak boleh ada diskriminasi terhadap semua pekerja berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga akan ke Kemboja tidak lama lagi bagi membincangkan reaksi dan perkara berkaitan pengambilan tenaga buruh termasuk pembantu rumah memandangkan negara tidak boleh bergantung kepada satu-satu negara sumber sahaja, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, setakat ini, negara mempunyai seramai 1,054 pekerja asing dari Kemboja dengan 1,003 daripadanya adalah pekerja pembantu rumah.
"Kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber atau negara sahaja bagi mendapatkan tenaga kerja dan kerajaan akan melihat secara menyeluruh mengenai keperluan pekerja berkenaan," katanya.
Beliau turut menegaskan, tiada diskriminasi terhadap kesemua buruh asing berkenaan kerana mereka turut mendapat kemudahan yang sama seperti diterima pekerja tempatan. - DagangNews.com