PUTRAJAYA 30 Mac - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah Indonesia di Malaysia bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada 1 April 2022 di Jakarta, Indonesia.
Saravanan berkata, majlis menandatangani MoU berkenaan menjadi detik bersejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo akan menyaksikan pemeterian tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen dan kesepakatan kedua-dua negara dalam melaksanakan MOU itu kelak.
"MoU itu telah ditandatangani buat kali pertama pada tahun 2006 yang telah tamat tempoh pada tahun 2011 dan kemudiannya diperbaharui sehingga tahun 2016.
"Namun selepas tempoh tersebut, MoU ini tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara.
"MoU ini akan merintis kepada kemasukan pekerja warga asing dari Indonesia ke dalam sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sehingga Februari 2022, jumlah pekerja warga Indonesia dalam negara adalah seramai 352,469 orang yang terlibat dalam sektor perladangan (98,421), pembinaan (65,660), perkilangan (67,217), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779). - DagangNews.com