MÖVENPICK mulakan operasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin 5 Julai ini | DagangNews Skip to main content

MÖVENPICK mulakan operasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin 5 Julai ini

SEPANG 3 Julai – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bertempat di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA akan mula beroperasi Isnin, 5 Julai 2021 dari jam 8.30 pagi sehingga jam 9 malam setiap Isnin sehingga Ahad.

 

Menurut Pengurus Besar hotel tersebut, Wan Enderi Mohd Saad, ia menjadi satu penghormatan untuk Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA terpilih sebagai PPV mega bagi daerah Sepang.

 

Pusat Konvensyen Movenpick KLIA dengan keluasan 178,381 kaki persegi ini, mampu menampung kapasiti sebanyak 5,000 janji temu setiap hari.

 

Pusat konvensyen Movenpick KLIA yang juga merupakan tempat pelepasan bagi jemaah Haji, telah memulakan perancangan rapi bersama pihak terbabit sejurus pengumuman penangguhan operasi haji bagi Musim Haji 1442H.

 

Kolaborasi diantara Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Pihak Pengurusan Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA adalah atas dasar tanggungjawab sosial korporat dan juga nilai kemasyarakatan serta usaha untuk mengekang penularan pandemik.

 

Sistem operasi hotel juga diselaraskan bagi memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi sepenuhnya. Maklumat penuh berkenaan “Vaccine Journey at Mövenpick Hotel & Convention Center KLIA” juga boleh didapati di laman web rasmi hotel dengan mengimbas kod bar yang tertera.

 

“Perkhidmatan yang kami sediakan tidak terhad kepada para tetamu hotel malah kami juga memperluaskan perkhidmatan kepada komuniti di mana kami bekerja. Adalah menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami dalam konteks dimana ia merupakan salah satu cara syarikat memberi balik kepada komuniti setempat.

 

"Sebagai salah sebuah pemain industri pelancongan negara, pihak hotel berharap apabila negara mencapai imuniti kelompok, kerajaan akan mempertimbangkan untuk membuka industri pelancongan domestik dengan lebih cepat dan secara amnya dapat membantu industri perhotelan kembali membangun,” kata Wan Enderi dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MÖVENPICK
LANDSKAP Hotel MÖVENPICK yang menarik.

 

Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA seluas 7.2 hektar, menampilkan kehijauan, kolam reflektif dan sungai, hanya beberapa minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji, hotel Mesra Muslim ini mempunyai 333 bilik dan suite serta ruang eksekutif dan enam kedai makan.

 

TERKINI : PPV Movenpick KLIA mampu beri vaksin sehingga 5,000 dos sehari

 

Kemudahan rekreasi yang berasingan ditawarkan untuk tetamu wanita, termasuk kolam renang, gymnasium dan kemudahan spa. Hotel ini juga menawarkan 17 ruang mesyuarat yang moden, sebuah dewan utama yang mampu memuatkan seramai 2,500 orang, kolam renang kanak-kanak, taman permainan dan gelanggang tenis.

 

Hotel ini juga menyediakan pusat konvensyen yang sesuai untuk acara, pameran dan konvensyen antarabangsa berskala besar. - DagangNews.com