KUALA LUMPUR 24 Feb - ManagePay Systems Bhd. (MPay) kembali merekodkan keuntungan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 dengan untung bersih RM999,000 berbanding kerugian bersih RM26.47 bagi tempoh sama 2020.
Bagi suku itu, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM9.65 juta daripada RM2.05 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kenaikan ini terutamanya disebabkan peningkatan menerusi hasil perkhidmatan bukan pembayaran.
Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), kumpulan mencatat untung bersih sebanyak RM1.28 juta berbanding kerugian bersih RM36.54 juta.
Mengenai prospek kumpulan, MPay berkata, dengan pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur, masih terdapat banyak cabaran yang dijangka memberi kesan kepada semua syarikat sepanjang tahun.
Katanya, beberapa langkah telah ditetapkan untuk memastikan kesinambungan perniagaan kerana kumpulan menjangkakan ekonomi akan pulih pada masa hadapan.
"Kumpulan telah melaksanakan beberapa siri strategi untuk meningkatkan keupayaan semasanya bagi memperluaskan perniagaan baharu yang berpotensi berdasarkan kecekapan teras bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan perniagaan keseluruhan kumpulan.
"Pada masa sama, kumpulan juga akan terus kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar dan mencapai pertumbuhan mampan dalam tempoh jangka panjang," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, dengan kesan pandemik COVID-19 yang berpanjangan, prestasi kumpulan untuk tahun kewangan semasa kekal mencabar secara positif.
"Oleh itu, kumpulan kekal yakin untuk mengatasi cabaran-cabaran ini dan memanfaatkan sebarang peluang yang timbul dalam perniagaan utamanya," tambahnya. - DagangNews.com