KUALA LUMPUR 31 Okt - Majlis Pemuliha Negara (MPN) menyifatkan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat boleh mendapatkan bantuan MPC bagi meningkatkan produktiviti kerana PMKS merupakan komponen terbesar dalam ekonomi negara.
Katanya, PMKS merupaka 98% daripada kuasa ekonomi negara berbanding negara barat hanya sekitar 55% dan Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada mempertingkatkan kemahiran keusahawan selain memberi fokus kepada kedudukan kewangan mereka.
"MPC boleh bekerjasama dengan PMKS utuk tingkatkan produktiviti manakala MIDA menggalakkan pelaburan dan Matrade membantu mengembangkan pasaran ke luar negara, ini merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara," katanya pada sidang media khas, baru-baru ini.
Sulaiman mencadangkan agar satu kajian terperinci dilakukan bagi menjadikan PMKS sebagai syarikat 'mid tier' yang boleh memberi sokongan kepada syarikat multinasional.
Pada masa sama, kajian itu juga perlu melibatkan usaha utuk menjadikan mereka sebagai pemain industri global yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada negara.
"Kajian yang dibuat itu perlu dibuat secara terperinci, tengok apa bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.
"Kita boleh membuat kajian terhadap syarikat-syarikat kecil yang berjaya seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Jepun, lihat bagaimana kita menaikkan taraf PMKS," katanya.
Mengulas mengenai cadangan moratorium khas kepada PMKS, Sulaiman berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti untuk melihat isu berkenaan kerana mereka merupakan komponen kritikal dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam padaitu, beliau berkata, MPN mengutamakan keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap optimum.
Katanya, tanah-tanah di bawah kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan bahan makanan sekali gus mengelak kebergantungan kepada bahan import dan mengurangkan kesan inflasi.
“Tahun 1970 kita ada rancangan Buku Hijau..apa program untuk bantu dan kalau boleh sekarang kita kena kurangkan import, pasal itu perkara ini saya nak respon cepat untuk mengatasi inflasi," katanya
Beliau berkata, setiap kerajaan negeri harus memanfaatkan hasil bumi kerana tanah di bawah tanggungjawab mereka.
"Mafi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan), FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), MARDI (Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia) bagi benih dan baja kerajaan negeri kena memperuntukan tanah untuk pertanian hasilkan bahan-bahan makanan, tanam bahan yang kita banyak import.
"Bahan-bahan yang dikeluarkan juga mesti lebIh murah daripada bahan import," katanya.- DagangNews.com