KUALA LUMPUR 31 Okt - Malaysia perlu memberi fokus kepada pelaburan dan perdagangan bagi memastikan pemulihan ekonomi negara terus meningkat, kata Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan global.
"Dalam konteks rantaian bekalan yang terjejas, banyak kegiatan eksport telah tergendala (disebabkan pandemik COVID-19).
"Namun, dalam proses pemulihan ini, saya lihat prestasi Pelabuahan Klang bertambah baik. Mereka bersedia dan dapat menarik kargo untuk ke pelabuhan kita. Sektor pelabuhan sangat membantu kita meningkatkan eksport," katanya dalam satu sidang media khas, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu menggalakkan pelaburan kerana ia menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Sementara itu, beliau berkata, kekurangan pekerja asing wajar ditangani dengan segera berikutan kemasukan pekerja asing ke Malaysia terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar iaitu RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan.
Katanya, statistik kelulusan kuota dan pembayaran levi hingga 12 September 2022, merekodkan 467,223 kuota diluluskan, namun bagi tempoh sama hanya menyaksikan 76,000 kemasukan tenaga kerja dari 12 negara.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada masalah berkaitan kekurangan tenaga kerja terutama dalam industri intensif buruh seperti sektor pembuatan, pelancongan, pembinaan dan peruncitan, termasuk sektor elektronik dan pertanian.
“Angka itu terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan. Justeru kita mahu Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengkaji balik proses pengambilan tenaga kerja asing kerana banyak sektor mempunyai tahap kebergantungan yang sangat tinggi.
"Kita dapati ramai pekerja memohon dan membuat pembayaran, namun yang masuk adalah kurang. Persoalannya, mengapa mereka belum datang lagi? Adakah ia melibatkan masalah negara mereka, atau sebab lain. Perkara ini perlu ditekankan kalau tidak sektor pertanian khususnya kelapa sawit akan terus mengalami masalah kekurangan pekerja," katanya.
Sementara itu, Sulaiman juga turut mendedahkan MPN telah membuat 95 cadangan keseluruhannya, dengan 86 cadangan telah diluluskan oleh kabinet manakala sembilan cadangan masih menunggu keputusan kabinet.
Daripada jumlah itu, 69% adalah berkaitan isu penting seperti kesihatan, ekonomi dan sosial, manakala 26% berkaitan hal pengurusan dan pentadbiran.
"Daripada 69% itu, yang telah selesai dilaksanakan adalah 16 cadangan atau 23%, 30 cadangan atau 43% masih dalam pelaksaan dan 14 cadangan atau 20% masih belum dilaksanakan.
"Keseluruhannya, hampir 66% dilaksanakan, things are moving. kebanyakan cadangan diterima pihak kabinet," katanya. - DagangNews.com