MPOB cipta jentera pemungut buah sawit relai | DagangNews Skip to main content

MPOB cipta jentera pemungut buah sawit relai

Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB ini boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini.

 

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Sekumpulan penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang diketuai Mohd. Ramdhan Mohd Khalid mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian untuk industri sawit yang bergantung pada kaedah manual dalam mengutip buah sawit relai di ladang. 

 

Katanya, sektor perladangan sawit sangat memerlukan sistem pemungutan buah sawit relai yang praktikal serta mampu menjimatkan kos. 

 

"Teknologi ini mengubah cara memungut buah sawit relai secara konvensional di mana buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg. 

 

"Kaedah ini bukan sahaja menuntut tenaga kerja dan memakan masa tetapi membebankan. 

 

"Tambahan pula, pekerja perlu membongkok untuk memungut buah sawit relai sepanjang hari. Proses ini meletihkan serta tidak produktif," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB ini boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini. 

 

Dengan menggunakan konsep siklon, buah sawit relai akan disedut ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong. 
Malah, konsep ini  juga mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap. 

 

Semasa buah relai berpusing di dalam ruang tong, buah relai yang berat akan jatuh ke bahagian bawah tong kerana kehilangan tenaga sementara sampah sarap yang lebih ringan seperti daun kering akan disedut keluar dari sistem. 

 

Menurut Ahmad Parveez, MPOB telah menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn. Bhd. untuk pengkomersialan teknologi tersebut yang dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja. 

 

Syarikat ini juga telah diluluskan untuk menerima dana pengkomersialan melalui Program Dana Mekanisasi Sawit. 

 

mpob
Pemandu hanya duduk di atas jentera sekali gus dapat mengelakkan pekerja mengalami masalah sakit belakang dan meringankan beban.

 

 

Aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi yang sesuai dan efisien telah dimulakan pada 2012. 

 

Sepanjang tempoh ini, beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit. 

 

Ujian menunjukkan bahawa secara puratanya, jentera yang dicipta MPOB ini mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 dan 5.1 kilogram/minit atau 1,200 hingga 1,500 kilogram sehari dengan kandungan sampah kurang daripada 15%. Buah sawit relai tidak rosak semasa operasi. 

 

Jelas beliau, teknologi ini menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi dalam pemungutan buah sawit relai di ladang. 

 

"Sebagaimana sedia maklum, buah sawit relai mengandungi kandungan minyak tertinggi daripada kebanyakan buah yang terdapat di tandan. 

 

"Jadi, jentera ini mampu memastikan agar semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik,” katanya.
 

Dengan teknologi itu, buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah. 
Teknologi ini memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik dan membantu mengurangkan masalah pengilangan yang berkaitan dengan kaedah pengumpulan semasa. 

 

Selain itu, pemungutan buah sawit relai dapat dilakukan oleh pemandu yang duduk di atas jentera tanpa menyebabkan pekerja sakit belakang dan dapat meringankan beban kerana tidak perlu membawa beg yang berisi buah sawit relai di sepanjang laluan penuaian. 

 

Ciptaan jentera pemungut buah sawit relai itu akan meningkatkan produktiviti pekerja dan turut memperbaiki cara bekerja, sekali gus menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi. - DagangNews.com