KUALA LUMPUR 7 April - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi tumpuan kepada empat bidang fokus penyelidikan dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri sawit.
Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, empat bidang fokus tersebut adalah peningkatan prestasi hasil, pembangunan mampan, mekanisasi dan automasi, dan keselamatan makanan dan nutrisi.
Jelasnya, walaupun pengeluaran minyak sawit meningkat, namun pencapaian purata pengeluaran hasil sawit adalah mendatar berbanding tanaman minyak sayuran lain.
"Sudah tiba masanya kita menggunakan inovasi terkini bioteknologi bagi biak baka dan baka klon sawit yang berupaya mengeluarkan hasil lebih tinggi dan berdaya tahan terhadap penyakit, kualiti minyak yang tinggi dan tahan terhadap perubahan iklim.
"Kita perlu menerapkan amalan agronomi terbaik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti,” katanya ketika berucap pada program Mini PAC 2021 yang diadakan selama dua hari di MPOB, semalam.
Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) yang terdiri daripada saintis dan pakar terkemuka dalam industri sawit dari dalam dan luar Malaysia mengutamakan dan meningkatkan pencapaian penyelidikan sawit.
Menurut beliau, ahli PAC, dengan kepakaran dan pengetahuan luas mengenai minyak dan lemak akan melihat secara terperinci mengenai projek penyelidikan dan isu strategik seperti pembangunan mampan dan mencari penyelesaian praktikal untuk mengurangkan jurang perbezaan antara industri dan pengkritik.
Pelbagai isu mengenai penggunaan tanah, biodiversiti dan usaha-usaha pemuliharaan, penyahhutan serta pencemaran air, udara dan tanah telah dibangkitkan.
"Ini juga memberi kesan kepada pekebun kecil dengan peraturan yang lebih ketat mengenai kelestarian, Amalan Pertanian Baik yang akan menyukarkan mereka memenuhi kehendak industri dan menngurangkan daya saing dari sudut ekonomi.
"Kita harus mencari pendekatan yang seimbang bagi memenuhi syarat kelestarian untuk industri sawit,” katanya.
Mengenai keselamatan makanan dan pemakanan, beliau berkata, ahli PAC secara khusus meneliti penyelesaian dan cadangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menangani isu kualiti minyak sawit yang dikaitkan dengan 3-MCPDE dan glycidol esters (GE).
MPOB telah menjalankan penyelidikan dan kajian untuk mengatasi pencemaran kualiti berkaitan isu 3-MCPDE dan GE dalam minyak sawit, tambah beliau.
"Cadangan Suruhanjaya Eropah untuk penetapan tahap yang berbeza untuk ester 3-MCPD; 1.25 ppm untuk minyak sayuran termasuk minyak isirung sawit dan 2.50 ppm untuk minyak lain termasuk minyak sawit merupakan diskriminasi terhadap minyak sawit.
"Ini menimbulkan tanggapan negatif terhadap minyak sawit yang dikaitkan dengan kualiti yang lebih rendah berbanding minyak sayuran lain,” katanya.
Ahmad Parveez juga menyatakan ahli PAC juga akan merangka dan membangunkan teknologi dan inovasi yang berovolusi dan berkesan untuk operasi huluan.
Ini termasuk kaedah yang lebih baik dan inovatif untuk pembangunan jentera penuai buah sawit dan teknologi memproses buah sawit.
“Kita harus berusaha meningkatkan mekanisasi ladang dan automasi yang cekap terutama di sektor huluan. Terdapat keperluan yang mendesak untuk kita mencari penyelesaian bagi mengatasi cabaran di lapangan," jelasnya.
MPOB telah membangunkan lebih daripada 40 jenis jentera dan peralatan mekanisasi untuk penggunaan operasi di sektor perladangan termasuk alat penuaian buah sawit. - DagangNews.com