MPOB tubuh jawatankuasa khas tingkatkan kesedaran pekebun kecil penyakit tanaman sawit | DagangNews Skip to main content

MPOB tubuh jawatankuasa khas tingkatkan kesedaran pekebun kecil penyakit tanaman sawit

Lebih 200 pekebun kecil sawit hadir pada majlis Program Kempen Kesedaran Tentang Letusan Populasi Koya dan Kulapuk Jelaga anjuran MPOB di Tawau, Sabah, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan program untuk meningkatkan kebersediaan pekebun kecil dalam menangani letusan penyakit koya (Mealybug) dan kulapuk jelaga (Scooty Mold) di daerah Tawau, Sabah. 

 

MPOB berkata, sebagai langkah proaktif, pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Kawalan Mealybug dan Scooty Mold yang terdiri daripada pakar serta penyelidik dalam bidang kawalan perosak bersepadu untuk mengatasi jangkitan penyakit serta gangguan perosak baharu tanaman sawit. 

 

Katanya, penubuhan jawatankuasa yang akan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan dalam mengendalikan serangan penyakit pokok sawit, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit kulapuk jelaga untuk mengekalkan produktiviti tanaman sawit. 

 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerajaan menyediakan dana Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi manfaat kepada pekebun kecil menanam semula pokok sawit tua.

 

"Sehingga 31 Januari 2024, sebanyak 27 permohonan Skim TSPKS 2.0 diterima daripada pekebun kecil di Sabah dengan keluasan 125.2 hektar," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pada majlis tersebut, lebih 200 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit di Tawau hadir pada majlis Program Kempen Kesedaran Tentang Letusan Populasi Koya dan Kulapuk Jelaga yang dirasmikan oleh Chan.

 

Chan berkata, beliau berharap pekebun kecil sawit mengambil peluang bantuan TSPKS 2.0 yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan melalui penanaman semula pokok sawit tua yang tidak produktif.

 

 

MPOB
Datuk Chan Foong Hin

 

 

Beliau berkata, jangka hayat produktiviti ekonomik pokok sawit bermula pada tahun ketiga penanaman sehingga mencecah usia 25 tahun. 

 

"Maklumat permohonan TSPKS 2.0 boleh diperolehi di pejabat-pejabat TUNAS MPOB di seluruh negara atau terus mendapatkan borang permohonan skim tersebut secara dalam talian daripada laman web MPOB atau cawangan-cawangan Agrobank di seluruh negara," katanya.

 

Katanya, selain skim penanaman semula sawit, kementerian melalui MPOB turut menyediakan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) serta Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) yang berfungsi sebagai mekanisme pengimbangan pendapatan pekebun kecil sementara tanaman sawit yang ditanam semula mengeluarkan hasil optimum. 

 

 

MPOB

 

 

"Bagi memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan termasuk yang diusahakan pekebun kecil sawit, kementerian melalui MPOB menubuhkan Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) bagi Pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil sawit persendirian," katanya.

 

Tambahnya, pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. - DagangNews.com