MPOC, MATRADE dengan kerjasama Kumpulan Lulu cari lebih ramai pengeluar produk berasaskan minyak sawit untuk pasaran UAE | DagangNews Skip to main content

MPOC, MATRADE dengan kerjasama Kumpulan Lulu cari lebih ramai pengeluar produk berasaskan minyak sawit untuk pasaran UAE

MPOC, MATRADE dan Kumpulan Lulu bekerjasama dalam mencari lebih ramai pengeluar produk berasaskan minyak sawit untuk dipasarkan di UAE.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mencari lebih ramai pengeluar produk berasaskan minyak sawit bagi membawa jenama Malaysia untuk menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui kerjasamanya dengan Lulu Group International (Kumpulan Lulu).

 

Matlamat utama pencarian itu adalah bagi membantu memasarkan produk seperti  minyak masak, kosmetik, minuman, makanan sejuk beku, farmaseutikal dan produk kuih-muih di pasaran UAE melalui rangkaian Pasaraya Lulu.

 

Syarikat-syarikat yang terpilih adalah tambahan kepada enam pengeluar tempatan yang sedang membekalkan produk kepada Pasaraya Lulu di Silicon Oasis, Dubai dalam kempen pengguna MPOC ‘Malaysia Palm Oil Full of Goodness’ yang sedang berlangsung dari Februari hingga April 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid berkata, kempen itu berjaya meluaskan perkongsian mereka dengan Kumpulan Lulu bagi mendapatkan lebih banyak produk berasaskan minyak sawit daripada pengeluar Malaysia untuk pasaran UAE.

 

“Kami teruja dengan perkongsian ini kerana kami percaya ia boleh membantu mengembangkan kehadiran, mempromosi dan menjual jenama tempatan kami di pasaran antarabangsa melalui rangkaian pasaraya Lulu di UAE. 

 

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif global berterusan MPOC untuk mempromosi dan menyebarkan kesedaran tentang kebaikan dan faedah minyak sawit Malaysia kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

 

Menurut kajian, pasaran minyak sawit UAE dijangka mencecah 400,000 tan menjelang 2025, dan MPOC bersedia untuk memanfaatkan permintaan ini dengan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kerajaan dan badan perdagangan di UAE untuk menyediakan peluang-peluang pasaran baharu kepada jenama-jenama Malaysia.

 

Pada tahun lepas, rantau Asia Barat mengimport sejumlah 1.85 juta tan minyak sawit Malaysia iaitu peningkatan 9.2% berbanding tempoh yang sama pada 2020. 

 

Negara seperti Turki, Iran, Arab Saudi dan UAE menyumbang 84% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia.

 

Sementara itu, Wan Aishah berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama pasar raya besar lain di rantau ini bagi membolehkan lebih ramai pengeluar berasaskan minyak sawit Malaysia mengembangkan pasaran mereka ke seluruh dunia. 

 

"Kami amat berharap inisiatif eksport ini akan menjadi kesinambungan dengan lebih banyak pasaraya dan kedai-kedai perniagaan di rantau ini membuka lebih banyak pintu untuk minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia," katanya. - DagangNews.com